
BEIJING: China menghulurkan bantuan kemanusiaan kecemasan kepada Republik Demokratik Congo bagi membantu negara itu menangani penularan wabak Ebola.
Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China hari ini memaklumkan wabak Ebola terus merebak di beberapa kawasan di Afrika sehingga mencetuskan situasi sangat serius.
Menurut agensi itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan penularan berkenaan sebagai ‘kecemasan kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa’.
Susulan itu, kerajaan China memutuskan untuk menghantar pasukan perubatan ke Republik Demokratik Congo bagi menyediakan perkhidmatan berkaitan.
Pada masa sama, China turut memberikan bantuan kepada Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AU) menerusi kerjasama pencegahan dan kawalan wabak, selain menyediakan sokongan kepada Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Afrika bagi membantu negara-negara Afrika meningkatkan keupayaan dalam memerangi wabak berkenaan.
Suruhanjaya Kesihatan Nasional China memaklumkan semalam bahawa kumpulan pertama pasukan perubatan China berlepas dari Beijing pada awal pagi tadi.
-Bernama