
KAPIT: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas insiden bot karam di kawasan Sungai Balang, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Balang Gaat, ditemui meninggal dunia pagi tadi.
Mangsa, Spielberg Dylan anak Sekunyir, 32, ditemui oleh penduduk kampung pada sekitar 7.10 pagi sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada pihak polis dan bomba pada 8.30 pagi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai PBK I Norman anak Matu bertolak ke lokasi penemuan mangsa pada jam 9 pagi dengan anggaran perjalanan selama dua jam.
Operasi SAR melibatkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menggunakan sebuah kenderaan Navara, dengan bantuan pihak polis.
Mangsa yang dilaporkan berambut pendek, bertatu pada kedua-dua belah tangan serta memakai baju-T dan seluar pendek berwarna hitam, sebelum ini dikhuatiri lemas selepas terlibat dalam insiden bot karam pada Isnin.
Mayat mangsa berjaya ditemukan pada hari kedua operasi SAR dan disahkan meninggal dunia. Pihak berkuasa akan menjalankan tindakan lanjut berhubung kes tersebut.
Oleh Masrin Affirah