
KAHERAH: Tujuh individu maut hari ini selepas sebuah kenderaan terjunam ke dalam terusan di wilayah Giza, selatan Kaherah, apabila pemandunya hilang kawalan, menurut laman berita milik kerajaan Ahram Online, lapor Xinhua.
Kemalangan itu berlaku selepas kenderaan berkenaan terbabas dari jalan, terbalik dan terjunam ke dalam Terusan Mariouteya di Giza, menurut laporan itu.
Polis, pasukan penyelamat dan ambulans dikerahkan ke lokasi kejadian.
Kenderaan itu kemudiannya berjaya dikeluarkan dari terusan manakala mayat mangsa turut ditemukan, menurut laporan itu.
Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu yang hilang kawalan terhadap kenderaan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan, tambah laporan itu. – Bernama