
MIRI: Bahagian dapur rumah kayu musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Dalam, di sini, malam ini.
Dalam kejadian kira-kira 7.29 malam itu, kebakaran memusnahkan dapur rumah berkeluasan kira-kira 20 x 20 kaki persegi, namun tidak merebak ke bahagian lain kediaman berkenaan.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.29 malam sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentral Miri digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada 7.50 malam dan mendapati bahagian dapur rumah telah terbakar 100 peratus.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada jentera bagi mengawal dan memadam kebakaran.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling