
BARAM: Perasmian Rumah Panjang Blok Baharu Uma Pawe, Long Apu, Baram merupakan detik bersejarah yang melambangkan kemajuan, perpaduan dan semangat juang masyarakat Kenyah Uma Pawe yang telah sekian lama membangunkan komuniti mereka dengan penuh kesungguhan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, penambahan 123 pintu baharu, Uma Pawe kini mempunyai 193 pintu rumah panjang dan dianggarkan 1,000 penduduk menjadikan antara rumah panjang terbesar di kawasan Baram.
“Kejayaan ini membuktikan kekuatan kepimpinan serta kerjasama erat seluruh komuniti dalam membina masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya pada majlis Perasmian Blok Baharu Rumah Panjang Uma Pawe Long Apu Baram, semalam.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk berkongsi perkembangan terkini berkaitan usaha kerajaan Sarawak mengambil alih dan menaik taraf bekas jalan-jalan balak di seluruh negeri termasuk di kawasan Ulu Baram.

Tambahnya langkah ini akan membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan bagi meningkatkan jaringan perhubungan luar bandar secara berperingkat.
Menurut beliau kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak akan terus komited memperkasa pembangunan luar bandar melalui penyediaan infrastruktur, kemudahan asas, pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
Sebagai tanda sokongan, kepada pembangunan komuniti setempat, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM20,000 kepada JKKK Long Apu.
Beliau berharap rumah panjang ini terus menjadi simbol perpaduan, kemajuan dan kesejahteraan masyarakat Long Apu untuk generasi hari ini dan masa hadapan.
Turut hadir, Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau, ADUN Telang Usan, Dato Dennis Ngau dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dominic Nyurang.
Oleh Jiku Juguong