
LIMBANG: Masyarakat Dayak yang pulang ke kampung halaman dan menyambut Hari Gawai diingatkan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan diri serta keluarga sepanjang musim perayaan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, peluang berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai sempena Hari Gawai merupakan saat yang paling dinantikan setiap tahun oleh masyarakat Dayak.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu pulang ke kampung serta semasa berkunjung ke rumah saudara-mara dan rakan-rakan sepanjang sambutan perayaan tersebut.
“Saya mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada seluruh masyarakat Dayak yang menyambut perayaan ini.
“Mereka yang pulang ke kampung halaman, pandulah dengan cermat dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.
“Selain itu, saya berharap semua yang menyambut Gawai sentiasa menjaga keselamatan masing-masing, bukan sahaja ketika berada di rumah panjang, malah semasa dalam perjalanan menziarahi saudara-mara dan kenalan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, sambutan Hari Gawai bukan sekadar perayaan tradisi masyarakat Dayak, malah menjadi medium penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Pandulah dengan cermat dan sentiasa berwaspada. Selamat Hari Gawai, Gayu Guru, Gerai Nyamai kepada semua yang menyambutnya,” katanya.
Oleh Adeng Edrus