
SIMANGGANG: Istilah ‘bandar mati’ yang sering dikaitkan dengan Sri Aman sebelum ini tidak akan timbul lagi sebaik sahaja projek rangkaian jalan raya utama dan Jambatan Batang Lupar 2 siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, infrastruktur mega yang dijadualkan siap pada tahun ini akan mengubah landskap sosioekonomi kawasan berkenaan secara drastik.
Menurut beliau, projek strategik tersebut bakal menghubungkan Bahagian Sri Aman dengan Bahagian Betong dalam tempoh masa yang jauh lebih singkat berbanding sebelum ini.

”Apabila siapnya Jambatan Batang Lupar 2 dan jaringan jalan raya baharu ini, mobiliti penduduk dan rantaian ekonomi antara kedua-dua bahagian akan menjadi lebih rancak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis sambutan Hari Wesak anjuran Persatuan Buddha Sri Aman yang diadakan di premis persatuan tersebut di Jalan Foochow, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kemajuan negeri, Harden menegaskan bahawa budaya kepelbagaian dalam masyarakat di Sarawak merupakan contoh terbaik perpaduan yang membolehkan semua kaum hidup dalam keadaan aman dan damai.

“Keamanan tersebut menjadi pemacu utama kepada kelancaran pembangunan negeri yang kini mempunyai hala tuju jelas berpandukan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.
Sementara itu, Harden turut menekankan kata kunci ‘hormat-menghormati’ antara satu sama lain sebagai teras kepada keharmonian yang dinikmati selama ini.
Nilai murni tersebut diketengahkan bagi mengajak masyarakat setempat untuk saling menghormati di samping mengamalkan budi pekerti mulia seperti yang dituntut oleh agama masing-masing.
Kehadiran Harden pada majlis tersebut adalah sebagai tanda sokongan padu kerajaan kepada persatuan yang telah banyak memainkan peranan penting dalam pembangunan insan serta menyuburkan simbol perpaduan kaum.
Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak pengurusan Persatuan Buddha Sri Aman kerana berjaya menyiapkan ruang tambahan rumah ibadat mereka.
Projek pembesaran premis tersebut telah dijayakan hasil pembiayaan peruntukan daripada Unit Untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR) di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sebagai sokongan berterusan, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut menyampaikan peruntukan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada persatuan berkenaan bagi membiayai aktiviti tahunan yang telah dirancang.
Oleh Adi Safarman