Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Hari Wesak diraikan di seluruh negara dalam suasana harmoni, kesyukuran  
  • SEMASA

Hari Wesak diraikan di seluruh negara dalam suasana harmoni, kesyukuran  

Utusan Sarawak 4 hours ago
PENGANUT Buddha menunaikan upacara keagamaan sempena sambutan Hari Wesak di Pertubuhan Buddhis Perlis (Perlis Buddhist Society) hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Wesak di seluruh negara hari ini berlangsung dalam suasana aman, harmoni dan penuh kesyukuran, mencerminkan keutuhan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Di PERAK, Pengerusi Wat Sribunya Manggarama di Ipoh Datuk Ching Thoo menjangkakan lebih 5,000 penganut Buddha mengunjungi wat berkenaan, sepanjang sambutan Hari Wesak.

Beliau berkata sambutan yang jatuh pada hujung minggu, memberi peluang kepada para penganut untuk menghadiri upacara keagamaan dan aktiviti yang dianjurkan di wat berkenaan.

“Penganut sekitar Ipoh dan Tambun antara majoriti terbesar yang mengambil kesempatan untuk berkunjung ke rumah ibadat itu, bagi melaksanakan amalan serta memperingati peristiwa penting dalam kehidupan pengasas agama Buddha, Gautama Buddha,” katanya ketika ditemui Bernama di Wat Sribunya Manggarama di sini hari ini.

Beliau berkata Hari Wesak merupakan hari memperingati tiga peristiwa penting iaitu kelahiran, pencerahan dan kematian Gautama Buddha. 

Di SARAWAK, sambutan Hari Wesak berlangsung penuh kesyukuran dengan kehadiran kira-kira 3,000 penganut Buddha di kuil Persatuan Buddha Sarawak, Kuching untuk upacara sembahyang yang turut dihadiri Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Di PULAU PINANG, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam perutusannya berkata Hari Wesak bukan sekadar sambutan keagamaan, malah membawa mesej sejagat mengenai belas ihsan, kebijaksanaan, kesederhanaan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.

Tinjauan Bernama mendapati sambutan di negeri itu diraikan dalam suasana sederhana namun meriah, apabila ribuan penganut Buddha mengunjungi tokong-tokong utama bagi menyertai pelbagai upacara keagamaan.

Antara lokasi tumpuan ialah Wat Chaiya Mangalaram di Lorong Burma, Wat Buppharam di Jalan Perak dan Kek Lok Si di Air Itam, yang mula dipenuhi penganut seawal 8 pagi, bagi menunaikan amalan keagamaan.

Suasana meriah turut dapat disaksikan di bangunan Penang Lee Sih Chong Soo (Lee Kongsi) di Jalan Burma apabila penganut pelbagai peringkat usia hadir bersama keluarga untuk menyalakan colok dan lilin berbentuk bunga teratai, mempersembahkan bunga serta menyertai upacara memandikan patung Buddha yang menjadi antara simbolik utama sambutan Hari Wesak.

Di PERLIS, sambutan Hari Wesak di Kangar anjuran Pertubuhan Buddhis Perlis bermula seawal 8 pagi dengan kehadiran kira-kira 800 penganut setakat 10.30 pagi, bagi melaksanakan upacara keagamaan.

Presiden Pertubuhan Buddhis Perlis Dr Tan Chan Sin berkata kehadiran penganut, dijangka meningkat pada sebelah malam selain berharap sambutan itu dapat terus memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata antara pengisian sambutan termasuk penyediaan juadah makanan vegetarian untuk pengunjung.

Di PAHANG, Setiausaha Persatuan Buddha Pahang Wong Sien Biang berkata kira-kira 6,000 penganut Buddha dari dalam dan luar Kuantan, dijangka mengunjungi kawasan sambutan di Indera Mahkota 8.

“Daripada pemerhatian kami hari ini, kebanyakan pengunjung ialah pelancong kerana ramai yang kami tidak kenali. Saya anggarkan sekitar 60 peratus pelancong dan 40 peratus penduduk tempatan,” katanya. 

Beliau berkata antara upacara utama pada sambutan Hari Wesak ialah sesi chanting dan upacara Bathing the Little Buddha.

Di KELANTAN, sambutan Hari Wesak di Wat Machimaram, Tumpat berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 1,000 penganut Buddha dan masyarakat Siam dari seluruh negeri serta luar Kelantan.

Pengerusi Persatuan Wanita Siam Negeri Kelantan KC Ngiam Eh Kuan berkata sambutan itu mendapat sambutan setiap tahun, walaupun pernah terjejas ketika pandemik COVID-19.

“Setiap tahun sambutannya meriah dan masyarakat Siam di Kelantan memang menunggu kedatangan Hari Wesak. Malam ini pula akan berlangsung upacara keagamaan bermula 8.30 malam,” katanya.

Di SELANGOR, tinjauan Bernama di Kuil Fo Guang Shan Dong Zen di Jenjarom, Kuala Langat mendapati ribuan penganut hadir bagi menyertai pelbagai pengisian rohani dan aktiviti kebudayaan sempena sambutan Hari Wesak.

Antara pengunjung, Hiu Li Wei, 38, berkata beliau berasa teruja untuk menyertai upacara memandikan patung bayi Siddhartha Gautama, yang dianggap simbolik penyucian diri serta peringatan mengenai kelahiran Buddha.

“Upacara ini memberi ketenangan dan mengingatkan saya untuk membersihkan minda daripada kekotoran seperti nafsu, kebencian dan kejahilan,” katanya.

Tam Choi Man, 40, pula berkata sambutan tahun ini lebih bermakna, dengan suasana persekitaran di kuil yang tenang dan dihiasi bunga-bungaan, sekali gus memberikan pengalaman rohani yang mendalam.

“Selain memandikan patung Buddha, saya juga meluangkan masa untuk melakukan amalan meditasi dan menghayati bacaan sutra di dewan utama,” katanya.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Kementerian Perbandaran Arab Saudi umum operasi haji 1447 Hijrah berjaya
Next: Hayati nilai luhur Hari Wesak, tangkis hasutan kebencian – PM Anwar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.