
IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berhasrat untuk menubuhkan Sekolah Pergunungan atau Mountain School, bagi membantu merancakkan industri pendakian di samping meminimumkan insiden di pergunungan.
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata idea Sekolah Pergunungan yang bakal diwujudkan itu, hasil perbincangan bersama dengan Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, yang menyatakan keperluan sebuah pusat latihan serta penyelidikan berfokuskan pendakian dan pergunungan.
Beliau berkata hasrat itu juga khusus menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, agar universiti prihatin terhadap isu masyarakat, seterusnya menjadi pusat pembelajaran sepanjang hayat.
“Mountain School atau Sekolah Pergunungan ini akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan antarabangsa.
“Matlamat utamanya untuk memberikan pendedahan asas dan juga profesional dalam bidang pendakian, penyelidikan dan penyelamatan di pergunungan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Md Amin berkata sekolah tersebut juga bertujuan meminimumkan insiden di pergunungan yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini, dengan dua fokus utama kewujudan sekolah berkenaan adalah pembelajaran kemahiran dan penyelidikan.
Beliau berkata berfokuskan pebelajaran sepanjang hayat, Sekolah Pergunungan akan menawarkan pelbagai kursus terkait industri pergunungan seperti kemahiran penyelidikan, mendaki, menyelamat, etika alam sekitar, sosioekonomi industri pendakian, interpretasi alam, pengurusan acara pendakian dan banyak lagi.
“Jenis kursus yang bakal ditawarkan adalah dari kursus jangka pendek, sijil profesional dan juga sijil akademik seperti diploma, ijazah sehinggalah peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PHD),” katanya.
Md Amin berkata sekolah tersebut akan dikendalikan oleh Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan serta Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy UPSI.
Beliau berkata sekolah itu akan bekerjasama erat dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Selain itu kerjasama turut membabitkan Persatuan Malim Gunung Malaysia, Malim Gunung Perhutanan dan pelbagai agensi antarabangsa seperti Outward Bound, National Outdoor Leadership School dan Bradford Woods.
Md Amin berkata tenaga pengajar sekolah itu terdiri pakar daripada industri rekreasi luar di negara ini dan antarabangsa serta pensyarah institusi pengajian tinggi dalam bidang yang berkaitan.
-Bernama