Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • Industri automotif perlu terus berinovasi, tingkat kemahiran tenaga kerja
  • TEKNOLOGI

Industri automotif perlu terus berinovasi, tingkat kemahiran tenaga kerja

Utusan Sarawak 5 hours ago
MELAWAT… Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing ketika melawat pameran pada Konvensyen dan Pameran Perniagaan Automotif Antarabangsa 2026, hari ini.

SIBU: Industri automotif Malaysia perlu terus memperkukuh inovasi, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi bagi memastikan sektor itu kekal berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, perkembangan pesat teknologi digital, mobiliti pintar, kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI) dan amalan mampan sedang mengubah landskap industri automotif, sekali gus menuntut pemain industri melakukan penyesuaian berterusan.

“Untuk terus berdaya saing, pemain industri perlu sentiasa berinovasi, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta menyesuaikan diri dengan perubahan trend pasaran.

“Saya berharap konvensyen ini menjadi platform yang bernilai untuk perkongsian ilmu, pertukaran pandangan yang bermakna serta membuka ruang kepada kerjasama baharu yang mampu memacu kemajuan industri ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen dan Pameran Perniagaan Automotif Antarabangsa 2026 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

UNTUK KENANGAN… Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing merakam kenangan bersama para peserta Konvensyen dan Pameran Perniagaan Automotif Antarabangsa 2026, hari ini.

Tiong berkata, Sibu memainkan peranan penting dalam mempromosikan inovasi teknikal dan keusahawanan dalam sektor automotif, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk membina kerjaya dalam bidang tersebut.

Menurutnya, pekerja mahir dan profesional teknikal merupakan aset penting dalam pembangunan negara, terutama ketika Malaysia bergerak ke arah ekonomi berteraskan teknologi dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Beliau menggalakkan golongan muda memanfaatkan minat dalam bidang automotif dan sukan permotoran menerusi latihan teknikal serta aktiviti yang dianjurkan secara teratur dan mematuhi undang-undang.

Tiong turut mengingatkan golongan muda supaya menjauhi aktiviti perlumbaan haram yang boleh mengancam keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak polis, terdapat anak Sarawak yang terlibat dalam kegiatan tersebut serta ibu bapa perlu memainkan peranan lebih aktif memantau pergerakan anak-anak yang belajar atau bekerja di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, konvensyen dan pameran seperti itu bukan sahaja memperkukuh ekosistem automotif, malah membantu mempromosikan Sibu sebagai destinasi berpotensi bagi acara perniagaan dan pelancongan industri.

PERASMIAN… Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing merasmikan Konvensyen dan Pameran Perniagaan Automotif Antarabangsa 2026 di salah sebuah hotel terkemuka di Sibu, hari ini.

“Program seperti ini turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, khususnya kepada perniagaan tempatan, sektor pelancongan dan komuniti setempat,” katanya.

Tiong turut menggesa peserta, khususnya generasi muda agar memanfaatkan peluang yang ada untuk menimba ilmu daripada pemain industri berpengalaman serta membina rangkaian kerjasama dengan persatuan industri, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta.

Beliau yakin industri automotif Malaysia akan terus berkembang dan kekal kompetitif sekiranya semua pihak terus bekerjasama dalam memperkukuh ekosistem industri berkenaan.

Terdahulu, konvensyen berkenaan menghimpunkan pemain industri, pakar teknikal, pembekal, institusi pendidikan serta golongan belia dalam usaha memperkukuh dan menyokong pembangunan industri automotif di rantau ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, Pengerusi Persatuan Juruteknik Kenderaan Sibu, Penghulu Teo Nging Poh serta yang lain.

Oleh Akun Giman

Tags: Teknologi

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak mahu lancar satelit sendiri, perkukuh ekosistem AI menjelang 2030

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.