Rumah panjang 29 pintu musnah terbakar menjelang Gawai

Facebook
WhatsApp
MARAK… Api marak memusnahkan  Rumah Panjang Nelson Ningkan di Kampung Labau, Bekenu  dalam kebakaran awal pagi tadi, hanya beberapa hari sebelum sambutan Hari Gawai. Foto Facebook netizen

MIRI: Kegembiraan penduduk Rumah Nelson Ningkan di Kampung Labau, Bekenu di sini untuk menyambut Hari Gawai bertukar duka apabila rumah panjang 29 pintu yang didiami mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 1.17 pagi itu, keseluruhan rumah panjang berkenaan dilaporkan terbakar 100 peratus, menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal hanya beberapa hari sebelum perayaan Gawai disambut.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bersama bantuan BBP Miri Sentral dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada 1.40 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh 23 kilometer

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan empat aliran air dengan pasukan BBP Miri Sentral memfokuskan pemadaman di bahagian hadapan rumah panjang, manakala BBP Batu Niah memadam kebakaran di bahagian belakang dan sisi bangunan.

Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Oleh Liong Chai Ling