SIBU:Suntikan dana sebanyak RM46,000 diluluskan bagi tujuan pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di sekolah-sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee berkata, guru besar di sepuluh sekolah rendah dalam DUN Nangka bersetuju menyediakan bahan-bahan latihan hard copy dan diedarkan secara pandu lalu di sekolah masing-masing.
“Guru-guru besar memohon peruntukan dari Pusat Khidmat DUN Nangka untuk tujuan tersebut dan sejumlah RM46,000 diluluskan,” jelasnya dalam Facebook Dr.Annuar Rapaee semalam.
Menurutnya, isu itu timbul berikutan PdPR di sekolah-sekolah rendah dalam DUN Nangka kurang berkesan menyebabkan terdapat pelajar-pelajar ketinggalan dalam pelajaran mereka.
“Guru besar akan mencadangkan langkah jangka panjang itu untuk pelajar-pelajar ketinggalan dalam pelajaran disebabkan pandemik Covid-19 yangn telah menyebabkan Bahagian Sibu telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.
Sementara itu, seramai 10 guru besar sekolah rendah dalam kawasan DUN Nangka semalam meminta warga pendidik diberi keutamaan dalam proses vaksinasi Covid-19 sekiranya program itu dilaksanakan di Sarawak nanti.
Permintaan itu dikemukakan dalam mesyuarat melalui aplikasi Zoom antara Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr.Annuar Rapaee dan 10 guru besar sekolah rendah dalam DUN Nangka, semalam.
Dr.Annuar berkata, beliau akan membawa cadangan guru-guru besar berkenaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam tempoh terdekat.
Oleh AKUN GIMAN