
KUALA LUMPUR: Duta Turkiye ke Malaysia yang bakal menamatkan perkhidmatannya, Emir Salim Yuksel berkata beliau berbesar hati dapat menyumbang kepada usaha memperkukuh hubungan Kuala Lumpur dan Ankara, yang menyaksikan kedua-dua negara menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang diplomasi, perdagangan, budaya dan hubungan antara rakyat.
Sambil menyifatkan empat tahun perkhidmatannya di Malaysia sebagai satu pengalaman yang hebat, Yuksel berkata tempoh itu amat bermakna buat beliau, baik dari sudut kerjaya mahupun kehidupan peribadi.
“Malaysia merupakan penempatan diplomatik yang penting bagi diplomat Turkiye. Saya amat menikmati masa saya di sini, baik secara profesional mahupun peribadi,” katanya kepada Bernama.
Yüksel berkata hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye berkembang dengan ketara sepanjang empat tahun lepas menerusi peningkatan interaksi, lawatan peringkat tinggi serta kerjasama dalam bidang pendidikan, pertahanan, diplomasi dan politik.
Beliau berkata hubungan antara Malaysia dan Turkiye turut berkembang melangkaui diplomasi tradisional termasuk kerjasama lebih rapat dalam sektor pelancongan, pertukaran budaya dan hubungan antara rakyat.

Menurut Yüksel, peningkatan penglibatan peringkat tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut membantu meningkatkan persefahaman dan pendedahan antara rakyat Malaysia dan Turkiye.
Beliau turut mengiktiraf hubungan rapat antara Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai faktor yang membantu meningkatkan hubungan kedua-dua negara.
“Hubungan istimewa dan persahabatan mereka turut banyak membantu meningkatkan tahap interaksi antara kedua-dua negara.
“Jadi, saya fikir pada masa depan, Turkiye dan Malaysia akan menjadi lebih rapat hasil usaha semua kepimpinan kedua-dua negara,” katanya.
Mengimbas pengalaman peribadinya di Malaysia, Yuksel berkata beliau banyak mempelajari mengenai masyarakat, budaya dan politik negara ini sepanjang berada di sini.
Beliau berkata telah menjalin persahabatan yang akan dihargainya sepanjang hayat dan akan meninggalkan Malaysia dengan pelbagai kenangan manis.
“Saya mempunyai ramai rakan di sini sekarang, jadi saya fikir persahabatan ini akan saya hargai sepanjang hayat,” katanya.

Beliau juga berkata akan merindui makanan Malaysia terutama durian “Black Thorn”, sate dan cendol, sambil berkongsi frasa bahasa Melayu kegemarannya yang dipelajari di sini iaitu “Selamat menjamu selera”.
Yuksel turut menggalakkan rakyat Malaysia dan Turkiye terus melawat negara masing-masing serta memperdalam persefahaman, sambil menyatakan bahawa peningkatan jaringan penerbangan antara Kuala Lumpur dan Istanbul menerusi Turkish Airlines dan AirAsia X membantu merapatkan rakyat kedua-dua negara.
Selepas menamatkan tugas diplomatiknya di Malaysia, Yuksel dijadual memulakan peranan baharunya sebagai Duta Turkiye ke Colombia di Bogota bermula 15 Jun ini. – Bernama