Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Penyukatan tanah NCR Sarawak catat kemajuan, lebih 37,000 lot terima hak milik
  • Tengah
  • WILAYAH

Penyukatan tanah NCR Sarawak catat kemajuan, lebih 37,000 lot terima hak milik

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATUK Len Talif Salleh menyerahkan surat hak milik tanah kepada pemilik pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Padeh, Betong di Rumah Aji Jeffrit Bungkan. Foto: Jabatan Tanah dan Survei Betong 

BETONG: Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak terus mencatat kemajuan memberangsangkan apabila sebanyak 110,815 lot individu berjaya diukur setakat 30 April 2026 melibatkan keluasan 132,414 hektar atau 327,202 ekar di seluruh negeri.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, daripada jumlah itu sebanyak 37,168 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) melibatkan keluasan 52,173 hektar atau 128,922 ekar.

Beliau berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pemilikan tanah NCR rakyat menerusi Program Pengukuran Tanah NCR yang diperkenalkan sejak tahun 2010.

“Kerajaan telah mengkaji kaedah bagi mempercepatkan proses penyukatan tanah NCR supaya pemilik tanah NCR mempunyai dokumen pemilikan tanah, sempadan tanah yang jelas dan tanah mereka tidak diceroboh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Padeh, Betong di Rumah Aji Jeffrit Bungkang, hari ini.

Menurut beliau, program berkenaan dilaksanakan secara dua peringkat iaitu pengukuran perimeter serta pewartaan di bawah Seksyen 6 KTS sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian), diikuti pengukuran lot individu dan pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18 KTS.

Katanya, sehingga kini Jabatan Tanah dan Survei Sarawak berjaya melaksanakan pengukuran perimeter melibatkan keluasan kira-kira 1,233,192 hektar atau 3.047 juta ekar di seluruh Sarawak sejak tahun 2010.

“Daripada jumlah tersebut, seluas 966,440 hektar atau 2.38 juta ekar telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak,” katanya.

GAMBAR KENANGAN… Datuk Len Talif Salleh bergambar bersama dengan hadirin yang hadir pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Padeh, Betong di Rumah Aji Jeffrit Bungkan. Foto: Jabatan Tanah dan Survei Betong 

Dalam perkembangan sama, kawasan Padeh di Betong berjaya diwartakan seluas 10,164 hektar melibatkan beberapa rumah panjang menerusi Program Inisiatif Baharu NCR di bawah Seksyen 6 KTS yang memberi jaminan pemilikan tanah sah dan berkekalan kepada penduduk tempatan.

Pada majlis itu, sebanyak 48 surat hak milik tanah Seksyen 18 KTS diserahkan kepada 44 penerima daripada komuniti Iban melibatkan keluasan keseluruhan 236.69 hektar tanah di kawasan Padeh.

Penerima terdiri daripada penduduk Rumah Panjang Sungai Sibau, Bungkang dan Gawis di Padeh, Betong.

Len Talif berkata, kerajaan akan terus melaksanakan Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu selagi ia diperlukan dan menjamin hak rakyat terhadap tanah NCR asalkan tuntutan dapat dibuktikan sahih mengikut perundangan.

Beliau turut menegaskan bahawa penyukatan tanah NCR dilaksanakan secara percuma tanpa sebarang caj kepada rakyat selain surat hak milik yang dikeluarkan di bawah Seksyen 18 KTS turut dikecualikan cukai tanah dan premium serta mempunyai pegangan kekal.

“Gunakan tanah ini sebaik-baiknya dan jangan semata-mata untuk keuntungan singkat sehingga menjual tanah sendiri. Lebih baik tanah tersebut diusahakan untuk menjana pendapatan isi rumah dan masa depan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menggalakkan masyarakat menyertai pelbagai inisiatif pembangunan tanah NCR yang diperkenalkan menerusi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) bagi memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar.

Turut hadir ialah ​Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas dan Penguasa Tanah Dan Survei Bahagian Betong Moris Nayup.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Geran berjumlah RM521,700 disalur kepada 70 penerima di Parlimen Sri Aman
Next: Operasi tangkap lembu korban terlepas berjaya dikawal bomba Bintulu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.