

TATAU: Sebuah lori sawit 10 tan terbakar pada bahagian tayar belakang sebelah kiri dalam kejadian di Sangan Nanga Merit di sini, hari ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 12.16 tengah hari.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 70 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan tayar belakang sebelah kiri lori terbakar 100 peratus.
“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya,” katanyaa.
Operasi ditamatkan pada 1.58 petang selepas pasukan bomba memastikan keadaan sekitar selamat dan tiada lagi punca kebakaran.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Oleh Carolyne Utih