
LAWAS: Perayaan Gawai Dayak terus menjadi simbol perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak yang meraikan kepelbagaian dalam suasana harmoni dan penuh kesepakatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini perlu terus dipelihara kerana ia menjadi sumber kekuatan rakyat Sarawak.
Menurutnya, setiap perayaan di Sarawak diraikan bersama tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang budaya.

“Kita di Sarawak meraikan perayaan seperti Gawai sama seperti Sabah meraikan Kaamatan. Perayaan ini bukan sahaja disambut masyarakat Dayak, tetapi turut diraikan semua kaum walaupun berbeza agama, budaya dan latar belakang.
“Inilah keunikan kita. Keunikan ini membawa semangat kebersamaan dalam kepelbagaian dan memperkukuhkan persefahaman antara rakyat,” katanya ketika merasmikan majlis Pra-Gawai Ngancau Tikai Daerah Lawas 2026 di Rumah Panjang Ajan Renang, malam tadi.

Beliau turut mengingatkan rakyat Sarawak supaya sentiasa berwaspada terhadap fitnah dan provokasi yang boleh memecahbelahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Katanya, rakyat Sarawak tidak seharusnya terikut-ikut dengan budaya berpolitik secara berlebihan sehingga menjejaskan keharmonian yang dinikmati ketika ini.
Sebaliknya, beliau mahu rakyat terus bersatu padu dan hidup harmoni bagi bersama-sama membangunkan Sarawak melalui usaha anak tempatan sendiri.

Menurut Awang Tengah, aspek pendidikan dan kemahiran juga penting bagi memastikan rakyat dapat bergerak seiring dengan kerajaan dalam usaha memajukan Sarawak demi kesejahteraan bersama.
Oleh Adeng Edrus