Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Arsenal julang trofi Liga Perdana selepas tewaskan Palace
  • SUKAN

Arsenal julang trofi Liga Perdana selepas tewaskan Palace

Utusan Sarawak 6 hours ago

Pemain Arsenal meraikan kejayaan menjulang trofi Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Crystal Palace. Foto AFP

LONDON: Arsenal menjulang trofi Liga Perdana Inggeris selepas meraikan perlawanan pertama mereka sebagai juara dengan kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Mikel Arteta mengesahkan kejuaraan liga Inggeris pertama mereka dalam tempoh 22 tahun pada Selasa lalu selepas Manchester City yang berada di tangga kedua seri di Bournemouth.

Turun beraksi buat kali pertama sejak meraikan kejayaan yang dinanti-nantikan itu, The Gunners mendahului menerusi Gabriel Jesus pada penghujung babak pertama di Selhurst Park.

Noni Madueke menambah gol kedua Arsenal selepas rehat bagi memastikan juara liga itu menamatkan kempen dengan 26 kemenangan daripada 38 perlawanan.

Sejak tewas kepada City pada 19 April dalam aksi yang dilihat memihak kepada pencabar mereka itu, Arsenal bangkit mencatat lima kemenangan liga berturut-turut untuk menamatkan musim dengan kelebihan tujuh mata di depan pasukan Pep Guardiola.

Sebaik tamat perlawanan, acara utama berlangsung apabila kapten Arsenal Martin Odegaard menjulang trofi selepas pingat disampaikan kepada Arteta dan skuadnya.

Konfeti merah dan bunga api memenuhi ruang udara ketika Odegaard mengangkat trofi, manakala pemain Arsenal menyembur champagne di hadapan ribuan penyokong mereka di Arthur Wait Stand.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta bergambar bersama trofi Liga Perdana Inggeris. Foto AFP

Arteta turut diangkat pemainnya, sementara pemilik Arsenal dari Amerika Syarikat Stan Kroenke bersama anaknya Josh membawa trofi ke padang untuk majlis penyampaian.

Penyokong yang masih teruja terus meraikan kejayaan dengan menyanyikan lagu buat juara, melambai replika trofi dan menyertai pemain menyanyikan lagu kelab “North London Forever”.

Menjulang trofi di luar Stadium Emirates tidak menjejaskan detik gemilang buat Arteta dan pemainnya yang akan memperagakan trofi itu sekali lagi dalam perarakan di utara London pada 31 Mei.

Kini, Arsenal mengalihkan fokus kepada usaha memburu gelaran Liga Juara-Juara pertama mereka apabila berdepan Paris Saint-Germain di final pada 30 Mei.

Menjuarai liga sudah cukup bermakna, namun jika turut membawa pulang trofi Liga Juara-Juara, musim ini akan menjadi musim terbaik dalam sejarah Arsenal.

Penghormatan ‘guard of honour’

Arteta melakukan banyak pertukaran menjelang final di Budapest dengan merehatkan Bukayo Saka, Declan Rice, Gabriel Magalhaes, Eberechi Eze, David Raya dan Viktor Gyokeres di bangku simpanan.

Penyerang Arsenal, Max Dowman mencipta rekod sebagai pemain termuda memulakan aksi Liga Perdana pada usia 16 tahun dan 144 hari, memecahkan rekod Jose Baxter yang berusia 16 tahun dan 198 hari pada 2008.

Pengendali Palace, Oliver Glasner turut merehatkan beberapa tonggak utama menjelang final Liga Konferens UEFA menentang Rayo Vallecano pada Rabu.

Arsenal diberikan penghormatan ‘guard of honour’ oleh pemain Palace ketika memasuki padang sebelum membalas kepercayaan Arteta yang mahu mereka menampilkan “standard baharu” selaku juara.

Dalam cuaca panas terik di selatan London, Jesus hampir membuka jaringan seawal minit kelima tetapi percubaannya terkena tiang sebelum rembatan seterusnya diselamatkan penjaga gol Palace, Dean Henderson.

Jesus akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-42 hasil hantaran kemas Gabriel Martinelli sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan Henderson di tiang dekat.

Madueke menjaringkan gol kedua Arsenal pada minit ke-48 menerusi situasi sepakan penjuru.

Kehebatan Arsenal dalam situasi bola mati sekali lagi menjadi senjata utama apabila Kai Havertz menanduk bola kepada Madueke yang melakukan voli dari dalam kawasan penalti.

Jean-Philippe Mateta merapatkan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-89, namun sambutan kejuaraan Arsenal tetap menjadi tumpuan utama. – AFP

Continue Reading

Previous: Salah sebak bangga kembalikan Liverpool ke tempat sepatutnya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.