Manchester United kendalian Michael Carrick menamatkan musim Liga Perdana Inggeris di tangga ketiga selepas menewaskan Brighton & Hove Albion 3-0 di Stadium Amex. Foto AFP.
LONDON: Pengurus Manchester United, Michael Carrick berkata penamat di tempat ketiga Liga Perdana Inggeris adalah “sesuatu untuk dibina” selepas pasukannya menamatkan musim dengan kemenangan 3-0 ke atas Brighton di tempat lawan awal pagi tadi.
Bekas pemain tengah United itu disahkan sebagai ketua jurulatih tetap baharu gergasi England berkenaan menerusi kontrak dua tahun pada Jumaat selepas mengemudi peningkatan prestasi dramatik di Old Trafford sejak mengambil alih susulan pemergian Ruben Amorim pada Januari lalu.
Carrick berjaya memastikan slot Liga Juara-Juara dengan baki tiga perlawanan dan United mengesahkan kedudukan ketiga selepas kemenangan 3-2 ke atas Nottingham Forest minggu lalu.
United kini mencatat 12 kemenangan dalam 17 perlawanan di bawah kendalian Carrick selepas menewaskan Brighton, dengan Patrick Dorgu membuka jaringan pada minit ke-33 sebelum Bryan Mbeumo dan kapten Bruno Fernandes menambah gol di kedua-dua babak permainan.
“Kami menamatkan musim dengan kuat,” kata Carrick kepada BBC.
“Kami melalui rentetan yang baik dan kedudukan ketiga hampir disahkan, jadi saya suka cara kami menamatkan saingan dan meneruskannya.
“Kami benar-benar fokus bahawa ini bukan penghujung musim, sebaliknya permulaan fasa seterusnya dan aksi hari ini (pagi tadi) menggambarkan pendekatan pemain dengan cukup baik… Ia memberi kami platform untuk dibina bagi musim depan.”
Fernandes mencipta rekod baharu Liga Perdana Inggeris dengan 21 bantuan gol dalam semusim selepas sepakan penjuru diambilnya disudahkan Dorgu untuk meletakkan United di depan 1-0 menentang Brighton.
Pemain antarabangsa Portugal itu kemudian menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-48 menerusi rembatan rendah untuk gol kesembilannya musim ini.
Rekod bantuan gol itu hadir sehari selepas Fernandes dinobatkan sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini, selepas turut memenangi anugerah pilihan penulis bola sepak.
“Itulah yang sering dilakukannya,” kata Carrick mengenai Fernandes. “Mencipta dan menjaringkan gol adalah keistimewaannya. Dia mempunyai naluri semula jadi untuk mencipta peluang dan sekali lagi melakukannya hari ini.” – AFP