Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Kebocoran bahan berbahaya di Selatan California semakin serius, 40,000 penduduk diarah pindah
  • GLOBAL

Kebocoran bahan berbahaya di Selatan California semakin serius, 40,000 penduduk diarah pindah

Utusan Sarawak 2 hours ago
KEBOCORAN bahan berbahaya di Selatan California pada Jumaat menyebabkan 40,000 penduduk diarahkan berpindah Foto AGENSI

HOUSTON, Amerika Syarikat: Kebocoran bahan berbahaya di Selatan California pada Jumaat menyebabkan 40,000 penduduk diarahkan berpindah ketika keadaan semakin serius dan kebimbangan berlaku letupan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan media.

Pihak Berkuasa Bomba Orange County (OCFA) berkata kebocoran itu dilaporkan pada Khamis di bandar Garden Grove, 40 batu (64.4 kilometer) di tenggara Los Angeles.

Keadaan terus merosot dalam tempoh 24 jam lepas, dengan pasukan kecemasan bimbang berlaku letupan atau ribuan gelen bahan toksik tumpah ke alam sekitar.

“Ia sama ada akan gagal atau meletup,” kata Ketua Bahagian OCFA Craig Covey kepada pemberita.

Pegawai kecemasan berkata tangki berkapasiti 34,000 gelen (128,704 liter) itu mengandungi metil metakrilat, sejenis bahan kimia toksik dan sangat mudah terbakar yang digunakan dalam pembuatan plastik akrilik.

Pihak berkuasa berkata sistem tangki itu gagal selepas bahan kimia berkenaan menjadi terlalu panas, menyebabkan tangki bocor.

Tangki yang terjejas itu terletak bersebelahan dua lagi tangki simpanan bahan kimia.

“Tangki yang berada dalam krisis paling serius itu sebenarnya tidak dapat dikawal dan dikurangkan risikonya. Hanya ada dua pilihan yang tinggal.

“Pertama, tangki itu rosak dan menumpahkan kira-kira 6,000 hingga 7,000 gelen bahan kimia yang sangat berbahaya ke kawasan parkir di situ, atau kedua, tangki itu mengalami larian terma lalu meletup, sekali gus menjejaskan tangki di sekelilingnya yang turut mengandungi bahan api atau bahan kimia,” kata Covey.

Pihak berkuasa menggesa penduduk mematuhi amaran pemindahan dan menjauhi kawasan itu susulan kemungkinan tumpahan atau letupan.

Pegawai berkata kualiti udara sedang dipantau secara aktif dan semua bacaan masih dalam “had sihat”.

“Ia bahan yang sangat toksik.                

“Ia amat mudah terbakar dan dalam keadaan semasanya, sangat reaktif serta boleh menyebabkan letupan,” kata Ketua Bahagian OCFA Nick Freeman pada sidang media.

Pegawai OCFA berkata pasukan kecemasan bersedia menghadapi kemungkinan bahan kimia itu melimpah keluar dari tangki, dengan “penghadang pembendungan” dipasang bagi menghalang bahan itu memasuki saliran ribut, saluran sungai atau sampai ke laut.

Mereka berkata tumpahan ialah “senario terbaik, percaya atau tidak”, berbanding letupan dan kemungkinan kepulan bahan toksik tersebar di kawasan itu.

Pegawai kecemasan berkata punca bahan dalam tangki itu menjadi terlalu panas masih belum diketahui.

Tiada kecederaan dilaporkan setakat Jumaat. – Bernama-Anadolu

Continue Reading

Previous: Angka korban bangunan runtuh di Maghribi meningkat kepada 15
Next: California kerah 2,800 anggota bomba hadapi kebakaran hutan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.