
BINTULU: Kira-kira 1,000 peserta memeriahkan program ‘Berjalan Sihat Bersama Premier Sarawak’ sempena Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Bintulu dan Bintulu Hari Tanpa Kereta pihak Lembaga Kemajuan (BDA) di Pantai Tanjung Bintulu di sini, hari ini.
Program riadah tersebut bermula di parkir No.1 Pantai Tanjung Batu dan berakhir di Pusat Falak Bintulu dengan penyertaan masyarakat pelbagai lapisan umur yang hadir seawal pagi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba kira-kira 7.00 pagi bersama anaknya, Dayang Nurjihan, dan disambut meriah oleh orang ramai yang mengambil peluang berinteraksi serta bergambar bersama beliau.
Penganjuran program itu bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mendekatkan kepimpinan negeri dengan rakyat dalam suasana santai dan harmoni.
Selesai sesi tersebut, Premier Sarawak menghadiri sesi sarapan pagi di Farley Food Court bersama tetamu kenamaan lain serta meluangkan masa menyantuni masyarakat setempat dan peniaga di lokasi berkenaan.

Beliau turut menyaksikan transaksi pembayaran menerusi sistem Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) melibatkan tiga penerima di kaunter Farley sebagai simbol komitmen kerajaan negeri dalam memastikan inisiatif kebajikan terus dimanfaatkan rakyat secara menyeluruh.
Premier Sarawak kemudian merasmikan Program Sarawakku Sayang Bahagian Bintulu 2026 di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu yang menjadi pengisian utama program berkenaan.

Turut menyertai program itu ialah Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Stephen Rundi Utom; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama beberapa Timbalan Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain.
Oleh Carolyne Utih