ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan sejumlah RM12.42 juta di bawah Skim Mikro Kredit Sarawak (SKMS) melibatkan 307 pemohon di negeri ini setakat 20 April lalu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, SKMS yang dilancarkan pada 1 April lalu dengan nilai bantuan disediakan keseluruhan sebanyak RM50 juta mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Kita telah menerima banyak permohonan yang dibuat melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Agrobank dengan jumlah yang diluluskan sebanyak RM12.42 juta dalam hanya beberapa hari.
“Skim ini dibahagikan kepada dua iaitu untuk individu dan juga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan ia langsung tidak mengenakan sebarang faedah,” katanya dalam sesi temubual khas di sini, semalam.
Menurutnya, kesemua permohonan yang diterima dan diluluskan itu adalah dibuat secara atas talian memandangkan negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mereka yang berjaya memohon ini tidak perlu membayar pinjaman selama tempoh yang telah ditetapkan malah selama enam bulan sehingga September ini tiada sebarang pembayaran perlu dilakukan.
“Saya yakin ini akan menjadi skim yang popular untuk membantu PKS termasuk penjaja. Permohonan dalam tempoh 14 hari, kita memudahkan proses permohonan kepada semua,” jelasnya.
Tambahnya, SKMS ini untuk membantu PKS yang terjejas kerana sektor ini amat penting untuk negara.
“Manakala bagi peniaga yang belum berdaftar, kita menggalakkan mereka berdaftar, selain itu mereka boleh memohon untuk permit sementara kerana ia juga cara kerajaan dapat memberikan bantuan kepada mereka termasuk Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) iaitu geran berjumlah RM1,500.
“Kerajaan akan memberi peluang dan ruang untuk peniaga menjalankan perniagaan dengan betul dan berjaya,” tambahnya.
Mengulas mengenai adakah Kerajaan Sarawak bercadang untuk menambah pakej BKSS, Awang Tengah berkata kerajaan sedia menerima sebarang cadangan untuk diperbaiki kerana niat utama adalah membantu rakyat.