

KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak mempergiat usaha penguatkuasaan menerusi operasi khas yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini bermula semalam hingga hari ini melibatkan tapak pembinaan dan rumah kongsi pekerja asing.
Menurut kenyataan media JIM Sarawak, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching dengan kekuatan seramai 31 pegawai penguat kuasa imigresen.
Hasil pemeriksaan dan serbuan yang dijalankan telah membawa kepada penahanan seramai 39 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia berusia antara 18 hingga 56 tahun.
Antara lokasi yang diserbu termasuk tapak pembinaan apartmen di Pending, projek perumahan di Bintawa serta rumah kongsi di kawasan perindustrian Demak Laut.


Pemeriksaan mendapati sebahagian warga asing yang ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tinggal lebih masa, bekerja tanpa pas atau permit kerja yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi tujuan pekerjaan.
Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching untuk tindakan lanjut dan siasatan terperinci.
Dalam operasi sama, dua majikan turut dipanggil hadir ke pejabat bagi membantu siasatan serta memberi keterangan berkaitan penggajian warga asing di premis terlibat.
JIM Sarawak menegaskan pihaknya akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI di negeri ini.
Oleh Adi Safarman