Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Perkeso lancar bulan pemutihan, beri peluang majikan baharu daftar, carum pekerja
  • NASIONAL

Perkeso lancar bulan pemutihan, beri peluang majikan baharu daftar, carum pekerja

Utusan Sarawak 4 hours ago
PERKESO beri peluang kedua kepada majikan menerusi Bulan Pemutihan hingga 22 Jun bagi mendaftar dan mencarum pekerja tanpa dikenakan kompaun atau tindakan undang-undang.

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Bulan Pemutihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hingga 22 Jun ini membolehkan majikan baharu tampil mendaftar dan mencarum pekerja secara sukarela, tanpa berdepan sebarang tindakan perundangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata majikan yang tampil berbuat demikian dalam tempoh tersebut akan diberi pengecualian daripada kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).

Beliau berkata peluang selama sebulan itu wajar dimanfaatkan majikan memandangkan hasil penelitian semasa Perkeso mendapati kadar ketidakpatuhan dalam kalangan majikan masih berada pada tahap sekitar 26 peratus.

​“Mengikut perangkaan hingga April, terdapat 915,616 majikan berdaftar dan beroperasi secara aktif, tetapi hanya 74 peratus atau 677,556 majikan yang mencarum pekerja masing-masing.

​“Justeru, non-compliance atau ketidakpatuhan dalam kalangan majikan ketika ini adalah sekitar 26 peratus atau 238,060 majikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohammed Azman berkata rekod Ops Kesan Kebangsaan setiap tahun pula menyaksikan kadar pekerja yang tidak mencarum dengan Perkeso masih kekal antara 19 hingga 21 peratus.

Katanya segelintir majikan didapati masih degil dan culas dalam menyempurnakan hak pekerja meskipun caruman Perkeso adalah potongan caruman berkanun yang diwajibkan mengikut peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).  

Menyentuh mengenai perlindungan pekerja asing, beliau berkata rekod bagi tempoh 2019 hingga kini menunjukkan 495,380 tenaga buruh asing mempunyai rekod pendaftaran tetapi tiada caruman.

​Lima lokaliti utama yang dikesan menggajikan pekerja asing tanpa rekod caruman ialah Selangor dengan sebanyak 37 peratus, diikuti Kuala Lumpur (22 peratus), Johor (10 peratus), Sarawak (enam peratus) dan Pulau Pinang (empat peratus).

​“Dari segi sektor pula, pembinaan adalah tertinggi, iaitu 21.4 peratus, diikuti pembuatan (20.9 peratus); perkhidmatan lain meliputi sektor penyelenggaraan barang kegunaan rumah, kenderaan, alat muzik, sukan (12.6 peratus); pertanian, perhutanan dan perikanan (9.1 peratus) serta peruncitan (5.3 peratus),” katanya.

Mohammed Azman berkata pada tahun ini Perkeso juga akan memfokuskan penguatkuasaan kepada dua sektor baharu iaitu, penjaja dan pekerja gig memandangkan sektor tersebut diwajibkan untuk mencarum selaras dengan warta kerajaan yang telah dikuatkuasakan sebelum ini.

“Pendekatan kita bagaimanapun ialah soft landing setelah mengambil kira kekangan persekitaran ekonomi semasa yang didorong ketidaktentuan global,” katanya.

Beliau berkata selain itu, sebanyak 19,190 notis kompaun dikeluarkan melibatkan nilai keseluruhan RM11.9 juta, manakala 17,686 kes didakwa di bawah LINDUNG Pekerja (Akta 4) dan LINDUNG Kerjaya (Akta 800) bagi tempoh 2020 hingga 2025.

Kegagalan mematuhi kewajipan mendaftar merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000 bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan.    

FCLB pada kadar enam peratus setahun juga boleh dikenakan kepada majikan, selain berdepan tindakan mahkamah yang boleh membawa kepada denda sehingga RM10,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. – Bernama

Continue Reading

Previous: RUU Warga Emas dibentang pada sesi parlimen akan datang – Nancy
Next: UKM, Blackberry lancar Cyber Pathways, perkukuh pembangunan bakat keselamatan siber di Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.