
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, tertakluk kepada penyelarasan prosedur dan semakan lanjut oleh pihak berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata draf rang undang-undang itu telah disediakan, namun proses libat urus dan perundingan masih diteruskan bagi memastikan pandangan pelbagai pihak berkepentingan diambil kira sebelum dimuktamadkan.
Beliau berkata rang undang-undang itu merangkumi peruntukan berkaitan tanggungjawab menjaga ibu bapa serta kebajikan warga emas, selaras dengan peningkatan populasi menua di negara ini.
“Kami berharap pada sesi Parlimen akan datang kerana drafnya sudah ada. Kini ia hanya melibatkan prosedur dengan kementerian lain dan dihantar semula kepada AGC untuk memberikan panduan serta input lanjut mengenai aspek yang perlu diperbaiki.
“Proses perundingan masih belum selesai kerana masih ada pihak yang mahu pandangan mereka dimasukkan, namun itu satu petanda positif kerana menunjukkan masyarakat mengambil berat dan mahu kami mengambil kira pelbagai aspek demi kepentingan warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar & Perundingan Pihak Berkepentingan bertajuk ‘The Malaysian Care Ecosystem – Assuring The Quality Of Caregivers’, anjuran kementerian, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Nancy berkata perbincangan mengenai rang undang-undang tersebut juga sedang dijalankan antara pihak kerajaan dan pembangkang melalui Jawatankuasa Pilihan Khas bagi mendapatkan sokongan semua parti politik.

Mengulas mengenai kebimbangan peningkatan kos penjagaan warga emas, beliau berkata kerajaan ketika ini menyediakan sokongan melalui pelepasan cukai kepada anak yang menjaga ibu bapa warga emas di rumah, termasuk tanggungan bagi individu orang kurang upaya.
Beliau menambah bahawa kerajaan juga sedang meneliti cadangan untuk menyokong keluarga yang menghantar ibu bapa warga emas ke rumah penjagaan swasta, dengan cadangan tersebut kini dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan.
“Kami mahu melatih orang menjadi profesional. Termasuk pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat sendiri serta mereka yang bekerja dengan kami, dan juga untuk memberi latihan di luar. Kami akan menyediakan latihan seperti ini,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Nancy berkata Malaysia sedang mengalami peralihan demografi yang besar dan dijangka menjadi negara menua menjelang 2040, dengan golongan berumur 65 tahun ke atas diunjurkan melebihi 15 peratus daripada jumlah penduduk.
Beliau berkata setakat 2025, populasi warga emas telah melebihi 2.9 juta orang, manakala kadar kesuburan semakin menurun, saiz isi rumah lebih kecil serta peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja terus meningkatkan permintaan terhadap penjagaan jangka panjang dan perkhidmatan penjagaan berasaskan komuniti.
“Tahun ini, kementerian menyasarkan untuk melatih 2,000 penjaga, termasuk pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, penjaga bagi pesakit terlantar dan penyedia perkhidmatan berasaskan komuniti,” katanya. – Bernama