KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam keadaan negara kritikal menghadapi pandemik Covid-19.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah juga menasihati rakyat supaya terus bertenang, tabah dan cekal menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pelaksanaan Proklamasi Darurat demi kepentingan dan keselamatan diri bersama serta negara.
Pada masa yang sama Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat, khususnya petugas barisan hadapan, yang telah menunjukkan semangat solidariti, kesepaduan dan daya ketahanan yang tinggi dalam menghadapi serta memerangi penularan wabak Covid-19.
Pandemik Covid-19 telah memberikan satu pengajaran yang amat bermakna kepada rakyat Malaysia dan Seri Paduka Baginda menzahirkan kesyukuran kerana semua pihak mampu menangani dan memerangi krisis ini kerana sikap prihatin, katanya.
Al-Sultan Abdullah yang genap dua tahun menjadi Ketua Negara hari ini bertitah semangat keprihatinan ini amat terserlah melalui usaha-usaha petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus siang dan malam membendung wabak Covid-19.
Sementara itu sesuai dengan tema Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini “Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin”, Seri Paduka Baginda turut menyeru rakyat agar menghayati semangat patriotisme dan cintakan Wilayah Persekutuan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain.
Sikap itu termasuk prihatin terhadap keluarga, sahabat, jiran, pekerja dan semua insan yang berada di sekeliling.
Bersempena Hari Wilayah hari ini, Seri Paduka Baginda menasihati rakyat agar menunaikan tanggungjawab sosial dan nilai-nilai murni terhadap komuniti setempat bagi memastikan keharmonian terpelihara dan kekal berpanjangan.
Titah Al-Sultan Abdullah, ia selari dengan tema sambutan kali ini, bersesuaian dengan aspirasi Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensinya, mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif seperti ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup warganya.
Al-Sultan Abdullah bertitah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya juga menjadi antara nadi yang menjana pertumbuhan negara ini dengan menyumbang sebanyak 13.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas.
Angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila rakyat mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi, kediaman yang selesa, pendidikan yang sempurna, kesihatan yang baik, alam sekitar yang lestari dan keselamatan yang sentiasa terpelihara, titah Seri Paduka.
Sementara itu, bersempena genap dua tahun Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Ahmad Fadil turut mengambil kesempatan merafak sembah tahniah dan setinggi-tinggi syukur.
“Semoga Allah SWT terus memberkati pemerintahan Tuanku – Daulat Tuanku – menjunjung kasih,” kata Ahmad Fadil.– BERNAMA