
LUBOK ANTU: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan anggotanya menerusi pelaksanaan Latihan Bulanan Pasukan bagi Mei yang berlangsung di Batang Ai, semalam.
Pegawai APM Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata latihan selama dua hari itu melibatkan seramai 27 anggota pada setiap hari yang terdiri daripada pegawai, jurulatih dan Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Menurut beliau, latihan tersebut bertujuan meningkatkan kemahiran, disiplin serta tahap kecekapan anggota dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan dan bencana di kawasan operasi.
Antara silibus latihan yang dijalankan termasuk perbarisan pagi, ikhtiar hidup, pengendalian mesin gergaji rantai, latihan jalan lasak serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Selain itu, anggota turut didedahkan dengan latihan asas renang dan menyelamat di air sebagai persediaan menghadapi insiden kecemasan melibatkan kawasan sungai dan perairan.
Desem berkata semua latihan dilaksanakan mengikut silibus yang ditetapkan bagi memastikan anggota sentiasa bersedia untuk digerakkan apabila diperlukan.
Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang latihan dijalankan, tiada sebarang kes kecemasan atau insiden tidak diingini dilaporkan dan program berjalan dengan lancar.
Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi APM Lubok Antu di talian 083-584639 atau menerusi talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman