
SARATOK: Impian penduduk di beberapa buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka untuk menikmati rangkaian perhubungan darat yang lebih baik kini semakin menghampiri kenyataan menerusi pelbagai usaha penyelarasan dan dialog yang giat dijalankan.
Terbaharu, satu sesi dialog penting bagi membincangkan perkembangan projek membina jalan Serandong-Perpat-Paloh-Batang Maro telah diadakan secara produktif bertempat di Pejabat Daerah Saratok, baru-baru ini.
Sesi dialog strategik tersebut telah dipengerusikan bersama oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid dan turut disertai oleh Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee bagi memastikan kelancaran projek merentasi sempadan pentadbiran itu.
Menyedari kepentingan projek ini kepada komuniti setempat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri telah diwakili oleh Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi.
Sesi perbincangan itu turut dihadiri oleh Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum (KMKK) dari kawasan Perpat, Paloh, dan Lubuk Nibong yang bertindak sebagai suara penyampai aspirasi serta kebimbangan penduduk akar umbi.

Bagi memperincikan aspek teknikal, dialog berkenaan turut melibatkan wakil-wakil daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Sarawak Energy Berhad (SEB), TM Teknologi Servis Sri Aman, serta wakil dari Pusat Khidmat ADUN kawasan yang berkaitan.
Mengulas mengenai hasil pertemuan tersebut, Mohamad Duri menyatakan bahawa beberapa perkara penting dan isu teknikal di lapangan telah berjaya dikenal pasti oleh semua agensi yang terlibat.
”Melalui sesi dialog tersebut, beberapa perkara telah dikenal pasti dan saya pasti perkara tersebut dapat diselesaikan secara berhemah menerusi perbincangan meja bulat,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa setiap pandangan, rungutan, dan kekangan yang disuarakan oleh wakil rakyat serta pemimpin masyarakat akan diambil perhatian serius serta tindakan susulan oleh pihak JKR dan kontraktor yang dilantik.
”Saya berharap segala kekangan yang ada dapat diselesaikan secepat mungkin kerana masyarakat di kawasan tersebut sudah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan jalinan jalan yang lebih selesa dan selamat,” katanya lagi sambil menzahirkan penghargaan kepada semua agensi dan pasukan yang bekerja keras demi merealisasikan impian itu.
Oleh Adi Safarman