
KUCHING: Persatuan Penjaja dan Peniaga Kuching/Samarahan menggesa komuniti penjaja dan peniaga kecil supaya sentiasa bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa susulan ketegangan geopolitik dunia yang berpotensi memberi kesan langsung terhadap kos sara hidup dan operasi perniagaan.
Pengerusinya, Chan Hot Chai berkata, konflik berterusan melibatkan Amerika Syarikat dan Iran perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menyebabkan kenaikan harga bahan api serta kos barangan di pasaran.
“Situasi tersebut dijangka memberi tekanan kepada golongan penjaja dan peniaga kecil yang bergantung kepada kestabilan harga bekalan dan kos operasi harian.
“Ahli-ahli perlu sentiasa berwaspada dan membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan kenaikan kos perniagaan akibat ketidaktentuan ekonomi global,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu, hari ini.
Beliau turut menggalakkan ahli yang berdepan masalah kewangan supaya memanfaatkan kemudahan pinjaman mikro yang disediakan Persekutuan Persatuan Penjaja Malaysia bagi membantu mengekalkan serta mengembangkan perniagaan masing-masing.
Sementara itu, wakil kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Kho Teck Wan berkata, kerajaan Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus memperkukuh hak perlembagaan negeri terhadap sumber minyak, gas dan perlombongan.
Menurutnya, tindakan Sarawak menegaskan hak perlombongan negeri serta pelaksanaan cukai jualan negeri (SST) ke atas pengeluaran minyak dan gas telah menyumbang kepada peningkatan hasil negeri dan pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Pertikaian undang-undang yang sedang berlangsung antara Petronas dan kerajaan Sarawak turut berkait rapat dengan hak perlembagaan negeri serta kawalan terhadap sumber asli Sarawak,” katanya.
Tambahnya, hasil tambahan yang diperoleh kerajaan negeri akan dimanfaatkan untuk pelbagai inisiatif jangka panjang termasuk pendidikan tinggi percuma, pengukuhan dana kekayaan berdaulat Sarawak, pembangunan Air Borneo serta projek sambungan satelit bagi meningkatkan capaian internet di kawasan luar bandar.