
PETRA JAYA: Sarawak menyasarkan pelancaran satelit sendiri menjelang 2030 sebagai sebahagian strategi besar membangunkan ekosistem teknologi masa depan termasuk kecerdasan buatan (AI), analitik data dan ekonomi digital negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan teknologi angkasa dan satelit kini menjadi antara fokus baharu kerajaan negeri dalam memperkukuh keupayaan digital serta pengurusan data strategik Sarawak.
Katanya, penggunaan satelit penting bukan sahaja bagi komunikasi dan pemetaan tetapi juga pengumpulan data masa nyata untuk sektor pertanian, alam sekitar, pengurusan bencana serta pembangunan bandar pintar.
“Kita mahu Sarawak mempunyai keupayaan sendiri dalam teknologi angkasa dan satelit.
“Ini penting untuk masa depan ekonomi digital dan pembangunan berasaskan data,” katanya ketika ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Abang Johari berkata pembangunan sektor tersebut akan diselaraskan menerusi penubuhan agensi aeroangkasa Sarawak yang bakal menjadi pemacu utama penyelidikan dan pembangunan teknologi angkasa negeri.
Pada masa sama, beliau berkata Sarawak turut memberi tumpuan besar kepada pembangunan kecerdasan buatan menerusi cadangan pembangunan Kampus Data Kecerdasan Buatan Kuching di Tanjung Embang.
Menurutnya, projek tersebut bakal menjadi antara pusat pemprosesan data dan kecerdasan buatan terbesar di rantau ini bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital Sarawak.
“Kita bukan hanya mahu menjadi pengguna teknologi tetapi pencipta dan peneraju teknologi masa depan. Sebab itu Sarawak perlu membina ekosistem lengkap melibatkan tenaga, data, bakat dan infrastruktur digital,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang meneroka penggunaan teknologi Grid Kecerdasan Buatan yang memerlukan kapasiti tenaga besar dan sistem pengkomputeran berprestasi tinggi.
Menurutnya, kelebihan Sarawak dalam tenaga boleh diperbaharui khususnya hidroelektrik memberikan kelebihan kompetitif kepada negeri ini untuk menarik pelaburan pusat data dan industri kecerdasan buatan.
Abang Johari berkata, beliau turut mengadakan lawatan kerja ke Ireland dan United Kingdom sebelum ini bagi meneliti pembangunan pusat data, kecerdasan buatan dan teknologi pengkomputeran maju yang boleh diterapkan di Sarawak.
“Dunia sedang bergerak pantas ke arah ekonomi dipacu kecerdasan buatan dan data. Jika Sarawak tidak bergerak sekarang, kita akan tertinggal,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan teknologi frontier itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 yang mahu menjadikan Sarawak sebagai ekonomi maju, mampan dan dipacu inovasi.
Oleh Shahrul Qaizat