
PADAWAN: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) berjaya menganjurkan program sulung ‘Sisa Menjadi Beg MPP 2026’ sebagai usaha menggalakkan amalan hidup lestari, mengurangkan pembuangan sisa serta memperkasa komuniti menerusi inisiatif kitar semula kreatif.
Pengerusi MPP, Tan Kai berkata, program tersebut menghimpunkan peserta dari kawasan Padawan untuk mempelajari cara menukarkan bahan terpakai, khususnya seluar jean lama, kepada beg guna semula yang mempunyai nilai praktikal dan komersial.
Menurut beliau, inisiatif itu mencerminkan komitmen pihak majlis dalam memperkenalkan pendekatan praktikal dan kreatif terhadap pengurusan sisa serta kelestarian alam sekitar.

“Program seperti ‘Sisa Menjadi Beg’ bukan sahaja membantu mengurangkan penghasilan sisa, malah memberi peluang kepada masyarakat mempelajari kemahiran baharu dan berpotensi menjana pendapatan tambahan melalui produk buatan tangan,” katanya.
Tan berkata, program tersebut juga selaras dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), termasuk SDG 8 berkaitan pekerjaan layak dan pertumbuhan ekonomi, SDG 11 mengenai bandar dan komuniti mampan, SDG 12 mengenai penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab, SDG 13 berkaitan tindakan iklim serta SDG 17 mengenai kerjasama demi mencapai matlamat.
Tambah beliau, program itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MPP untuk memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar dan memperkukuh penglibatan komuniti ke arah menjadikan Padawan sebuah perbandaran yang lebih bersih, hijau dan mampan.
Oleh Connie Chieng