
RUFFEDGE pertaruh ‘Kamu Yang’, harap karya baharu terus dekat di hati peminat.
KUALA LUMPUR: Kalau dahulu populariti seseorang artis diukur melalui kekerapan wajah mereka keluar di televisyen atau suara berkumandang di radio, kini segalanya sudah berubah apabila skrin telefon pintar pula yang mengambil alih peranan itu.
Perubahan drastik landasan industri muzik masa kini yang serba digital itu diakui sendiri oleh ahli kumpulan R&B legenda Ruffedge, Azan Addin Abdul Wahab yang menganggap perubahan tersebut sebagai antara cabaran besar buat artis angkatan lama.
Azan, 52, secara jujur berkongsi betapa kumpulan mereka juga perlu akur dan menyesuaikan diri dengan selera generasi baharu yang rata-ratanya menjadikan media sosial seperti TikTok sebagai medium hiburan pilihan masa kini.
Ruffedge yang kini bergerak sendiri tanpa naungan syarikat rakaman, mengakui tidak mudah untuk memasarkan lagu termasuk menerusi media sosial yang nyata memerlukan strategi tersendiri.
“Walaupun kami mempunyai karya berkualiti dan sentiasa menghasilkan, kami tidak ada kepakaran dari sudut promosi dan pemasaran,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini baru-baru ini.
Bercerita tentang single terbaharu “Kamu Yang” dikeluarkan Mac lepas, Azan mendedahkan lagu berentak low-fi R&B itu sebenarnya telah direkodkan pada 2020, namun akibat kekangan pandemik COVID-19 serta beberapa situasi lain, lagu tersebut disimpan sebelum diberikan nafas segar mengikut kesesuaian trend bunyi masa kini.
“Sebenarnya lagu ini dah dinyanyikan dalam babak filem Tipah Tertipu (diterbitkan pada 2006), tapi pendek saja, jadi yang ini versi penuh,” katanya.
Kumpulan Ruffedge ditubuhkan pada 1998, dianggotai lima orang iaitu Azan, Cat Farish, Sein Qudsi, Zain Hamid dan Mode.
Kumpulan ini popular dengan lagu hit seperti Khayalan, Bila Rindu, Tipah Tertipu dan Da’ Bombsebelum ahlinya mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing pada 2008 demi menumpukan perhatian pada keluarga dan kerjaya solo.
Mereka membuat kemunculan semula pada awal 2018 termasuk menerusi konsert berskala besar serta tampil dengan lagu baharu seperti Seperti Mereka (2018), Belenggu (2023), Putus (2023) dan Senja (2025).
Sementara itu, Mode atau nama sebenarnya Syed Mohammad Syed Abdullah, berkata Ruffedge menghargai sokongan peminat terhadap lagu hit mereka yang terdahulu, namun berharap karya baharu mereka turut mendapat tempat di hati peminat.
“Setiap kali mendapat slot persembahan yang terhad, kami terpaksa akur menyanyikan lagu lama atas permintaan, sekali gus menyukarkan kami untuk mengetengahkan karya baharu,” katanya.
Dalam pada itu, sebagai persediaan menjelang konsert mega bersempena dengan ulang tahun ke-30 penubuhan Ruffedge tahun depan, mereka kini dalam proses memuktamadkan pembikinan album penuh di bawah label baharu.- Bernama