
SERIAN: Warga emas dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah usai menghadiri pengebumian ahli keluarga di Kampung Koran Bari.
Mangsa lelaki berusia 68 tahun itu dikatakan keluar dari rumah sekitar 2.00 petang pada Sabtu lalu bagi menghadiri pengebumian emak saudaranya di kampung bersebelahan sebelum gagal dikesan sehingga kini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan, panggilan kecemasan diterima pada 10.38 malam tadi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama dimulakan sekitar 9.10 pagi tadi selepas taklimat bersama polis dan penduduk kampung.
Operasi pencarian dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu diketuai bomba dan polis dengan pencarian tertumpu di sekitar kampung serta kebun mangsa dalam radius kira-kira tiga kilometer dari rumah mangsa.
Operasi dihentikan sementara pada 12.00 tengah hari sebelum disambung semula pada 2.00 petang bersama agensi terlibat serta bantuan penduduk kampung.
Kawasan pencarian kemudian diperluaskan dalam radius dua kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB), namun mangsa masih belum ditemukan sehingga operasi ditangguhkan pada 5.00 petang.
Difahamkan, mangsa mempunyai masalah kesihatan termasuk darah tinggi, lemah jantung dan gastrik.
Operasi SAR melibatkan empat anggota BBP Serian menggunakan kenderaan utiliti Hilux, selain bantuan empat anggota polis dan kira-kira 50 penduduk kampung.