
JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada Isnin merasmikan penyerahan beberapa aset ketenteraan baharu kepada Tentera Udara Indonesia, termasuk enam pesawat tempur pelbagai peranan Rafale.
Prabowo berkata, usaha pemodenan ketenteraan Indonesia itu bertujuan semata-mata untuk melindungi kedaulatan negara dan mengekalkan kestabilan serantau.
“Kami tidak mempunyai kepentingan selain melindungi wilayah kami sendiri. Kami melihat situasi geopolitik global penuh dengan ketidakpastian, dan kami tahu pertahanan merupakan prasyarat utama untuk kestabilan,” katanya pada majlis penyerahan rasmi yang diadakan di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma di sini, menurut Agensi Berita ANTARA.
Pada majlis itu, Prabowo secara simbolik menyerahkan kunci enam pesawat Rafale, empat pesawat Falcon 8X, sebuah pesawat A-400M, sistem radar Ground Control Interception (GCI) GM403, senjata pintar Hammer dan peluru berpandu Meteor kepada Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jeneral Agus Subiyanto.
Enam pesawat Rafale itu merupakan sebahagian daripada tempahan 42 pesawat oleh Indonesia daripada syarikat Dassault Aviation dari Perancis menerusi perjanjian yang ditandatangani secara berperingkat sejak 2022.
Beliau berkata Indonesia akan terus memperkukuh keupayaan pertahanannya secara berperingkat bagi memastikan keselamatan ruang udara, wilayah maritim dan sempadan darat negara. – Bernama