
KUCHING: Hujan renyai yang turun sejurus tamat persembahan tidak sedikit pun mematahkan semangat lebih 30,000 pengunjung yang membanjiri Padang Merdeka malam tadi bagi memeriahkan hari kedua Festival Muzik Kuching (KMF) 2026.
Sejak awal petang lagi, kawasan festival sudah mula dipenuhi orang ramai yang hadir untuk menyaksikan barisan artis popular tempatan dan nusantara dalam suasana penuh warna-warni di tengah bandar raya Kuching.

Sorakan paling gemuruh malam ini jelas tercetus setiap kali penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan, muncul di pentas utama.
Penyanyi bersuara lunak itu berjaya memukau ribuan peminat menerusi rangkaian lagu hitnya termasuk Kekasih Bayangan yang menyaksikan seluruh Padang Merdeka bergema dengan nyanyian penonton yang turut sama mengalunkan lirik lagu tersebut.

Momentum persembahan terus memuncak apabila Cakra Khan berduet bersama penyanyi tempatan, Chien Ng menerusi lagu Seluruh Cinta yang menerima sorakan luar biasa daripada penonton.
Gabungan vokal kedua-dua penyanyi itu nyata mencipta momen istimewa dan antara persembahan paling mendapat perhatian sepanjang festival berlangsung malam tadi.
Tidak cukup dengan itu, suasana bertambah hangat apabila Carrie Geres turut bergandingan bersama Cakra Khan menerusi lagu Hal Hebat yang sekali lagi mengundang nyanyian beramai-ramai daripada penonton.
Selain Cakra Khan, persembahan Mal Imran, Chien Ng dan Carrie Geres turut berjaya menghiburkan pengunjung dengan pelbagai genre lagu yang membuatkan suasana festival terus hidup sehingga ke penghujung acara.

Kemuncak malam kedua festival itu bagaimanapun hadir pada penutup persembahan apabila semua artis naik ke pentas untuk bersama-sama menyanyikan lagu ikonik Sarawak, Berkikis Bulu Betis.
Lagu tersebut berjaya menyatukan ribuan pengunjung yang turut sama menyanyi dan menari dalam suasana penuh semangat perpaduan serta kebanggaan terhadap budaya Sarawak.
Walaupun hujan renyai mula turun sebaik persembahan berakhir, majoriti pengunjung dilihat masih kekal berada di kawasan festival untuk merakam kenangan dan menikmati suasana malam di Padang Merdeka.
Dengan sambutan luar biasa malam ini, Kuching Music Festival sekali lagi membuktikan festival muzik tempatan mampu menjadi platform besar yang menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang menerusi hiburan, seni dan budaya.
Oleh Shahrul Qaizat