
KUCHING: Memorial Nan Qiao Ji Gong bukan sekadar mercu tanda sejarah, malah menjadi simbol penting dalam usaha pembinaan negara Sarawak berasaskan keberanian, pengorbanan dan semangat patriotisme generasi terdahulu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, nilai yang ditunjukkan kumpulan Nan Qiao Ji Gong perlu dijadikan inspirasi dalam memperkukuh pembangunan dan perpaduan Sarawak pada masa kini.
Menurut beliau, masyarakat Sarawak perlu mencontohi semangat golongan berkenaan yang sanggup berkorban demi negara ketika Perang Dunia Kedua.
“Nan Qiao Ji Gong merupakan sebahagian daripada respons masyarakat Cina terhadap seruan China semasa Perang Dunia Kedua apabila Jepun menawan kawasan pesisir pantai sehingga memutuskan laluan bekalan senjata dan bantuan.
“Laluan alternatif melalui Burma kemudian dibuka untuk membawa senjata dan bekalan ke China dan mereka memainkan peranan penting dalam usaha tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Memorial Nan Qiao Ji Gong di sini, hari ini.
Dr Sim berkata, lebih 3,000 masyarakat Cina perantauan dari Tanah Melayu, Indonesia dan Thailand pulang ke China walaupun bukan warganegara negara itu bagi membantu usaha penentangan terhadap Jepun.
Katanya, mereka terlibat dalam pembinaan jalan raya, landasan kereta api, membaiki kenderaan serta pelbagai tugas logistik lain yang menjadi komponen penting dalam perjuangan tersebut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Sarawak memerlukan semangat patriotisme dan tanggungjawab bersama dalam usaha membina masa depan negeri.
Beliau berkata, kejayaan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada apa yang dilakukan kerajaan, sebaliknya turut memerlukan sumbangan rakyat kepada negeri dan masyarakat.
“Di Sarawak, kita berusaha membantu seramai mungkin anak Sarawak, namun anak Sarawak juga perlu menyumbang sesuatu kepada Sarawak supaya kita dapat menjadi sebuah wilayah yang berjaya,” ujarnya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Datuk Wee Hong Seng berkata, pembinaan memorial tersebut bukan sekadar mengenai struktur fizikal, tetapi lebih kepada menghidupkan semula ingatan, penghargaan dan penghormatan terhadap insan biasa yang menjawab panggilan luar biasa pada zaman penuh cabaran.
Katanya, lebih lapan dekad lalu ketika Perang Dunia Kedua melanda Asia, ribuan anak muda dari seluruh Nanyang termasuk dari Sarawak telah tampil sebagai pemandu sukarela dan mekanik dalam usaha membantu China menentang pencerobohan Jepun.
“Mereka meninggalkan rumah, keluarga dan masa depan bukan kerana mengejar kemasyhuran atau kekayaan, tetapi kerana percaya bahawa apabila kemanusiaan terancam, manusia yang baik tidak boleh berdiam diri,” katanya.
Tambahnya, kisah Nan Qiao Ji Gong bukan hanya sejarah masyarakat Cina atau Sarawak semata-mata, sebaliknya merupakan kisah kemanusiaan sejagat yang mengingatkan bahawa dalam saat kegelapan, manusia akan terus maju apabila memilih keberanian, pengorbanan dan perpaduan.
Oleh Adele Rissa