
KUCHING: Sambutan Hari Guru terus dilihat sebagai platform penting bagi pelajar menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan pendidik yang banyak membentuk kehidupan mereka sejak di bangku sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi.
Tinjauan Utusan Sarawak mendapati pelajar IPT bukan sahaja menghargai guru melalui hadiah atau ucapan, malah turut melihat kejayaan diri sendiri sebagai tanda penghargaan paling bermakna kepada pendidik mereka.
Bagi pelajar Kolej Universiti i-CATS, Dominic Ingai, 25, penghargaan terhadap guru boleh dizahirkan melalui ucapan ikhlas, hadiah kecil serta sikap hormat terhadap ilmu yang dicurahkan.
Menurutnya, kejayaan anak didik juga merupakan bentuk penghargaan paling besar kepada seorang guru.
“Penghargaan yang paling bermakna ialah apabila pelajar berjaya dalam kehidupan mereka. Itu sebenarnya lebih bernilai daripada hadiah mahal,” katanya.
Nada sama turut dikongsi pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Debra Setty Anyan, 20, yang berpendapat kejayaan pelajar merupakan hadiah paling bermakna buat seorang guru.

Beliau berkata, guru sanggup berkorban masa dan tenaga tanpa mengharapkan balasan, justeru penghargaan perlu dizahirkan dengan cara yang tulus.
“Saya rasa tidak ada yang lebih menggembirakan seorang guru selain melihat anak murid mereka berjaya mencapai impian,” ujarnya.
Sementara itu, pelajar i-CATS, Kacey Naja Kevin Nila, 19, berkata sambutan Hari Guru di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi sering diraikan melalui kejutan kecil sebagai tanda penghargaan kepada pendidik.
Menurutnya, beliau pernah menghadiahkan kad tulisan tangan dan cawan sebagai tanda terima kasih kepada guru.

“Bagi saya, kejayaan pelajar, ucapan terima kasih dan doa adalah bentuk penghargaan paling bermakna,” kongsinya.
Beliau menambah, guru bukan sahaja menjadi pendidik, malah berperanan sebagai pembimbing, ikon teladan dan ‘ibu bapa kedua’ kepada pelajar.
Bagi seorang lagi penuntut Kolej Universiti i-CATS, Alissa Sofea Alwi, 23, penghargaan terhadap guru tidak semestinya datang daripada hadiah mahal, sebaliknya lebih bermakna melalui ucapan ikhlas dan perubahan positif dalam diri pelajar.

Menurutnya, beliau lebih selesa menyampaikan penghargaan secara peribadi kerana guru sering berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam mendidik pelajar setiap hari.
“Kadang-kadang, ucapan ringkas atau nota kecil sudah cukup bermakna buat seorang guru,” katanya.
Tambahnya, penghargaan paling besar ialah apabila pelajar berjaya membentuk karakter, keyakinan dan nilai diri hasil didikan guru.
Secara keseluruhan, semua responden sependapat bahawa Hari Guru kekal relevan dalam dunia pendidikan hari ini kerana ia bukan sahaja meraikan pendidik, malah mengingatkan pelajar tentang pentingnya menghargai jasa mereka yang membentuk masa depan generasi muda.
Oleh Adele Rissa