Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Jasa guru terus mekar dalam hati anak didik
  • Tengah
  • WILAYAH

Jasa guru terus mekar dalam hati anak didik

Utusan Sarawak 7 hours ago
 ASWANDEE Wahid

SARIKEI: ‘Guru Bitara, Nadi Negara’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Guru tahun ini bagi menggambarkan peranan besar warga pendidik sebagai tunjang utama dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing demi masa depan negara. 

Tema tersebut turut mencerminkan pengorbanan guru yang bukan sahaja menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah, malah menjadi pembimbing dan pencetus inspirasi kepada anak didik.

NURUL Nabila

Bersempena sambutan Hari Guru tahun ini, Utusan Sarawak telah menemu bual guru, pelajar serta ibu bapa bagi berkongsi pengalaman, penghargaan dan harapan mereka terhadap profesion perguruan yang disifatkan sebagai nadi penting dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Rata-rata mereka mengakui jasa dan pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang hayat.

LUQMAN Hamzi

Aswandee Wahid yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Adin berkata, pengalaman paling mencabar sepanjang bergelar guru adalah ketika beliau mula ditempatkan di sebuah sekolah pedalaman di Sabah.

“Berkongsi tentang pengalaman saya semenjak saya bergelar seorang guru, pekara yang paling mencabar bagi saya adalah mengajar di sebuah sekolah di pedalaman negeri Sabah pada masa saya mula-mula ditempatkan lagi.

 AMAL Wirdani 

“Tapi, dari segi cabarannya itu telah mendidik dan mengajar saya erti penat lelah sebagai seorang guru, dimana pengorbanan seorang guru ini amatlah tinggi untuk mendidik anak bangsa kita mendapatkan ilmu dan menjadi seorang yang berjaya di suatu hari kelak,” katanya.

Beliau turut menitipkan nasihat kepada para pelajar agar sentiasa ikhlas menerima ilmu dan tidak terlalu bergantung kepada keselesaan semata-mata memandangkan dunia kini semakin mencabar khususnya dalam bidang teknologi maklumat.

MOHAMMAD Ariffin 

“Harapan saya semoga semua anak didik saya dan juga semua anak-anak yang bergelar sebagai seorang murid, terimalah ilmu dari seorang guru dalam hati yang ikhlas, jangan terlalu manja, sebab sekarang dunia kita semakin mencabar, terutamanya dari segi teknologi dan teknologi maklumat (IT).

“Satu lagi harapan saya, semoga semua pelajar yang mendapatkan pendidikan dari seorang guru, ingatlah, jasa seorang guru kita alan kenang sampai bila-bila, paling penting berilmu biar beradab dan kita akan menjadi seorang yang berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.

Sementara itu, Nurul Nabila Abdullah, 18, pelajar lepasan SPM 2025 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semop berkata, beliau amat menghargai segala pengorbanan guru sepanjang mendidiknya sehingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di Malaysia. Saya sangat menghargai semua usaha para guru.

“Sebenarnya, ramai guru yang memberi saya inspirasi, tapi salah seorang yang sangat memberi inspirasi kepada saya ialah Cikgu Wong. Beliau telah mengajar saya dari Tingkatan 1 dan sangat berpengaruh dalam hidup saya,” katanya.

Katanya, pelajar perlu sentiasa berusaha mencari kaedah pembelajaran yang sesuai termasuk memanfaatkan platform digital seperti TikTok untuk tujuan pendidikan.

“Pesanan saya kepada para pelajar supaya teruskan belajar. Banyak cara untuk belajar, contohnya menerusi Tik Tok, kita hanya perlu mencari sendiri cara yang sesuai untuk belajar.

“Seperti saya sendiri, saya belajar mengunakan nota-nota dan ia amat berguna untuk saya.

“Tahun lepas (2025), saya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk sembilan subjek matapelajaran.

“Pada 31 Mac 2026, saya ambil keputusan SPM dan saya mendapat 8A, 1B. Kemudian saya minta semakan semula untuk satu subjek iaitu subjek Reka Cipta dan saya akhirnya mendapat 9A. Alhamdulillah,” katanya lagi.

Bagi Luqman Hamzi, 18, juga lepasan SPM 2025 dari SMK Semop, kejayaan yang diperoleh tidak akan tercapai tanpa bimbingan guru sejak Tingkatan 1.

“Saya, Luqman Hamzi pelajar lepasan SPM 2025 dari SMK Semop dengan keputusan 7A, 1B.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua guru yang telah mengajar saya dari Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Amal Wirdani Fasihah Aswandee, 18, lepasan SPM 2025 dari SMK St Anthony berkata, seorang guru sejarah telah menjadi inspirasi besar dalam menentukan cita-citanya pada masa hadapan.

“Alhamdulillah, saya mendapat keputusan 5A+, 2A-, 1A dan 2B untuk SPM 2025.

“Guru yang paling memberi inspirasi kepada saya ialah guru sejarah saya iaitu Cikgu Entia. Disebabkan oleh beliau, saya ingin menjadi seorang guru sejarah pada masa hadapan.

“Saya ingin memberi ucapan kepada semua guru, kami sayang semua cikgu dan terima kasih atas semua ajaran cikgu-cikgu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Ariffin Samin, 41, selaku ibu bapa turut menyifatkan guru sebagai tonggak utama dalam membentuk masa depan sesebuah negara.

“Guru adalah tiang untuk sebuah negara. Guru adalah insan yang mendidik dan mengajar anak-anak dari segi pendidikan.

“Manakala, ibu bapa adalah sebagai guru yang pertama untuk mendidik anak-anak dari segi sikap, pembelajaran awal.

“Kepada semua guru-guru di seluruh Malaysia, saya mengucapkan Selamat Hari Guru dan teruskan mendidik anak-anak Malaysia,” katanya.

Sambutan Hari Guru yang diraikan setiap tahun jelas membuktikan bahawa peranan seorang guru bukan hanya terbatas di dalam bilik darjah, malah turut menjadi pencorak masa depan generasi muda menerusi ilmu, bimbingan dan nilai kehidupan yang diterapkan kepada pelajar.

Selaras dengan tema ‘Guru Bitara, Nadi Negara’, jasa dan pengorbanan warga pendidik wajar terus dihargai seluruh masyarakat kerana guru bukan sahaja melahirkan insan berjaya, malah membentuk generasi yang berilmu, beradab dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Oleh Earl Anek

Continue Reading

Previous: Lapan motosikal disita dalam Op Bersepadu BSPT di Asajaya
Next: Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Ba’kelalan perkasa gerak kerja akar umbi Pemuda GPS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.