
KUCHING: Sempena sambutan Hari Guru, penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan turut berkongsi kenangan terhadap seorang guru yang banyak memberi dorongan kepadanya dalam bidang nyanyian sejak zaman persekolahan.
Menurut beliau, Allahyarhamah Ibu Hajiaan merupakan individu yang banyak membimbing dan memberi sokongan kepadanya ketika masih bersekolah di kampung halaman.
Katanya, guru tersebut bukan sahaja mengajar beliau membaca not muzik, malah sentiasa menggalakkan penyertaannya dalam pertandingan nyanyian sejak di bangku sekolah rendah lagi.
“Beliaulah yang banyak mengajar dan menyokong saya sejak awal,” katanya pada sidang media di Terminal VVIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, pagi tadi.
Cakra berkata, jasa dan dorongan guru tersebut menjadi antara faktor penting yang membentuk keyakinannya untuk terus berkarya dalam bidang muzik sehingga hari ini.
Menurutnya, walaupun ketika itu kemudahan latihan vokal tidak begitu tersedia di kampung, gurunya tetap berusaha membimbing dan memberi ruang untuk beliau mengembangkan bakat nyanyian.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua guru yang sentiasa memainkan peranan besar dalam mendidik dan membentuk masa depan generasi muda.