
KUCHING: Kumpulan legenda rock alternatif tanah air, OAG bakal menghangatkan suasana Festival Muzik Kuching 2026 di Padang Merdeka di sini, malam ini.
Menurut Radhi OAG, beliau berasa sangat bersyukur kerana diberi peluang bersama OAG membuat persembahan di Festival Muzik Kuching 2026.
Pada masa yang sama, Radhi memperkenalkan barisan baharu OAG iaitu Uden (bas), Tido (gitar) dan Ringgoe (dram).
Ditanya mengenai jumlah lagu yang akan disampaikan pada malam ini, Radhi berkata mereka akan mempersembahkan sekitar sembilan hingga 10 lagu seperti yang dijanjikan.
“Mengenai perasaan, sebenarnya saya mengawal emosi kerana kegembiraan masih dalam kawalan. Saya simpan suara untuk bercakap khas untuk malam ini,” katanya ketika ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.
“Semoga peminat hadir beramai-ramai malam ini di Festival Muzik Kuching 2026,” tambahnya.
Persembahan yang dijadual bermula pada 8.30 malam itu dijangka menjadi antara tarikan utama festival berkenaan apabila peminat muzik tempatan berpeluang menyaksikan kemunculan kumpulan popular yang terkenal dengan lagu-lagu malar segar mereka.
Festival anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok dengan kemasukan percuma kepada orang ramai.
Selain OAG, festival tersebut turut menampilkan barisan artis tempatan dan antarabangsa termasuk Cakra Khan, Melissa Francis, Firdaus Materang, Chieng Ng dan Orkestra Prodigy .
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai jualan makanan dan minuman serta konsep Glamping in the City yang disediakan sepanjang festival berlangsung.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal susulan beberapa penutupan dan lencongan jalan di sekitar Padang Merdeka bermula 7.00 malam hingga tengah malam bagi melancarkan perjalanan acara tersebut.