

KUCHING: Tetamu yang pernah menginap atau berkunjung ke Hotel Waterfront pasti mengenali Oyen, kucing berwarna jingga yang sering ‘bertugas’ di lobi hotel, menyapa pengunjung serta menjadi peneman setia kepada ramai tetamu.
Semalam, pihak hotel berkongsi khabar duka yang menyentuh hati ramai apabila memaklumkan Oyen telah pergi buat selamanya.
Sejak hotel itu mula dibuka sekitar 2016, Oyen sudah berada di situ dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian warga hotel berkenaan selama hampir sedekad.
Bagi kakitangan hotel, Oyen bukan sekadar kucing yang berkeliaran di kawasan hotel namun kehadirannya sudah menjadi rutin yang sukar dipisahkan daripada suasana di situ.


Ada tetamu yang sengaja mencarinya setiap kali datang dan ada yang bergambar dengannya sebelum pulang.
Malah saya sendiri sebagai penulis juga selalu ditemani Oyen ketika duduk bersendirian menunggu dijemput pulang selepas habis bekerja.
Kadangkala Oyen hanya duduk diam di sebelah, tetapi bagi sesetengah orang, itu sudah cukup membuat hari mereka terasa sedikit tenang.
Keletahnya yang manja dan mudah mesra membuatkan Oyen dikenali bukan sahaja dalam kalangan pengunjung tempatan, malah pelancong luar yang pernah singgah ke hotel berkenaan.
Ruangan komen media sosial hotel turut dipenuhi ucapan sedih daripada orang ramai yang berkongsi kenangan masing-masing bersama si bulus jingga itu.
Pihak hotel dalam hantaran sama menyifatkan Oyen sebagai sebahagian daripada keluarga mereka dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada kisah di hotel berkenaan.


Bagi manusia, kehidupan terus bergerak dan terbentang luas di merata tempat, jauh melepasi dinding Hotel Waterfront.
Namun bagi Oyen, setiap lorong di hotel itu, setiap kakitangan yang datang dan pergi setiap hari, serta setiap tetamu yang singgah seketika, itulah dunia kecilnya yang paling bermakna dan menjadi seluruh kehidupannya.
Terima kasih, Oyen, kerana pernah menjadi sebahagian daripada hari-hari kecil orang ramai tanpa kami sedari. Selamat menyeberangi jambatan pelangi, OyenThe Hotel Meownager.
Oleh Masrin Affirah