Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Ali Sabri, bekas guru terus aktif kendali majlis dan program komuniti di Bintulu
  • INSPIRASI

Ali Sabri, bekas guru terus aktif kendali majlis dan program komuniti di Bintulu

Utusan Sarawak 9 hours ago
KENANGAN… Cikgu Sabri ketika masih bergelar guru dan mengacarakan majlis Jalinan Kasih Kongsi Raya di Sekolah Kebangsaan Kampung Jepak pada 2015.

BINTULU: Walaupun sudah hampir sedekad bersara daripada dunia pendidikan, Ali Sabri Saber Ali Khan masih aktif menyumbang kepada masyarakat apabila beliau terus mengendalikan pelbagai majlis rasmi dan program komuniti di sekitar Bintulu.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Ali merupakan pesara guru berketurunan Melanau Vaie yang telah berkhidmat hampir 39 tahun dalam bidang pendidikan sebelum bersara pada 2017.

Beliau dikurniakan tujuh anak, iaitu dua lelaki dan lima perempuan, dan kini menetap di Kampung Baru Sebuan Besar.

Bagi beliau, persaraan bukanlah pengakhiran untuk terus berbakti kepada masyarakat. Sebaliknya, pengalaman panjang dalam dunia pendidikan menjadi asas kekuatan yang membolehkannya kekal aktif dalam bidang pengacaraan sejak lebih tiga dekad lalu.

Ali berkata, penglibatan beliau dalam bidang pengacaraan bermula sekitar awal 1990-an sebelum bergiat lebih serius pada 1993.

CIKGU Ali Sabri ketika ditemu bual media di kediamannya di Kampung Baru Sebuan Besar.

Menurutnya, individu pertama yang melihat potensinya sebagai pengacara ialah seorang pegawai belia dan sukan ketika itu, Salleh Abdul Rahman, selain sokongan kuat daripada abang kandungnya, Allahyarham Ali Baginda Sabir Ali Khan.

“Salleh Abdul Rahman merupakan individu pertama yang melihat potensi saya sebagai pengacara majlis dan memberi peluang kepada saya untuk mengendalikan beberapa program di Bintulu ketika itu.

“Selain itu, abang kandung saya juga banyak memberi dorongan dan keyakinan untuk saya terus aktif dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, penglibatan yang lebih serius bermula apabila beliau menerima pelbagai jemputan untuk mengendalikan program rasmi dan tidak rasmi di sekitar Bintulu pada tahun-tahun berikutnya.

Menerusi pengalaman itu, beliau turut diberi kepercayaan mengendalikan majlis di peringkat negeri serta berpeluang berkenalan dengan beberapa tokoh kenamaan Sarawak ketika itu, termasuk mendiang Tan Sri Datuk Seri Celestine Ujang.

PERKONGSIAN gambar terkini Cikgu Sabri di acara Regata Bintulu 2026 bersama Datu Nyurak Keti, Residen Bahagian Bintulu.

“Daripada situlah saya mula diberi peluang mengendalikan majlis besar di peringkat negeri dan menimba lebih banyak pengalaman,” katanya.

Selain majlis rasmi, beliau turut mengendalikan pelbagai program tidak rasmi seperti majlis perkahwinan, program komuniti, pentas hiburan serta aktiviti kemasyarakatan di sekitar Bintulu.

Katanya, pengalaman sebagai guru banyak membantu beliau dalam berinteraksi dengan masyarakat serta mengendalikan pelbagai situasi ketika menjadi pengacara.

Sehingga kini, beliau masih aktif menerima jemputan setiap tahun, termasuk acara tahunan anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu iaitu Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo sejak edisi pertama penganjurannya.

“Alhamdulillah, saya masih diberi kepercayaan untuk mengacarakan pelbagai program anjuran di Bintulu, termasuk acara tahunan Lembaga Kemajuan Bintulu iaitu Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo setiap tahun,” katanya.

Ditanya mengenai faktor yang mendorong beliau untuk terus aktif walaupun telah bersara, Ali Sabri berkata minat yang mendalam dalam bidang pengacaraan menjadi pendorong utama untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Minat yang mendalam dalam bidang pengacaraan menjadi pendorong utama saya untuk terus aktif sehingga kini,” katanya.

Beliau menambah, setiap peluang mengendalikan majlis dianggap sebagai ruang untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

CIKGU Ali Sabri lengkap bersama keluarga besarnya sempena sambutan Aidilfitri.

“Saya seronok dapat bertemu dengan masyarakat. Itulah yang membuatkan saya masih aktif sehingga hari ini,” katanya.

Menurutnya, kepuasan terbesar yang dirasai ialah apabila masih diberi ruang untuk menyumbang kepada masyarakat melalui pengacaraan majlis.

“Selagi kita masih hidup dan mampu menyumbang, itu sudah satu kepuasan,” ujarnya.

Mengulas mengenai persediaan ketika mengendalikan majlis, Ali Sabri berkata keyakinan tidak hadir secara spontan, sebaliknya dibina melalui pengalaman, latihan serta penguasaan terhadap program yang dikendalikan.

Katanya, antara amalan yang sentiasa dilakukan ialah membuat persediaan awal termasuk memahami atur cara majlis, mengenali tetamu jemputan serta memastikan sebutan nama dan protokol tidak tersilap.

“Saya akan memastikan saya memahami keseluruhan atur cara majlis terlebih dahulu. Itu penting supaya kita tidak tersalah langkah ketika mengendalikan acara,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan ketenangan dan kawalan emosi ketika berada di atas pentas, walaupun berdepan situasi tidak dijangka.

“Jika berlaku perkara di luar jangka, kita perlu kekal tenang. Jangan panik, kerana sebagai pengacara kita merupakan ‘nadi’ kepada kelancaran majlis,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi bahawa pengalaman sebagai guru banyak membantu membentuk keyakinan ketika berhadapan dengan masyarakat pelbagai latar belakang, sekali gus memudahkannya mengendalikan majlis dengan lebih yakin dan teratur.

Mengulas mengenai dunia pendidikan pula, beliau menegaskan bahawa guru bukan sekadar mengajar, tetapi mendidik dan membentuk sahsiah pelajar menjadi insan berguna.

“Guru bukan hanya mengajar, tetapi mendidik. Peranan guru lebih luas kerana kita membentuk masa depan seseorang,” katanya.

Beliau turut menasihatkan generasi muda yang ingin menjadi pendidik supaya memiliki kesabaran, keikhlasan dan kesediaan untuk terus belajar sepanjang hayat.

Katanya, profesion guru merupakan amanah besar yang memerlukan komitmen tinggi.

Tambah beliau, cabaran pendidikan dahulu dan sekarang berbeza dari segi suasana, namun tanggungjawab seorang guru tetap sama.

Dahulu, pelajar lebih bergantung kepada guru sebagai sumber ilmu utama, manakala kini mereka lebih terdedah kepada maklumat digital yang memerlukan guru lebih bijak menapis dan membimbing.

“Dahulu pelajar lebih fokus kerana sumber ilmu masih terhad. Kini mereka lebih terbuka dan cepat terdedah kepada dunia luar,” katanya.

Menurutnya, pelajar masa kini lebih kreatif dan cepat belajar, namun memerlukan pendekatan yang lebih memahami emosi serta mendekati jiwa mereka.

“Pelajar sekarang bijak dan cepat menangkap pembelajaran, tetapi mereka memerlukan pendekatan yang lebih memahami jiwa mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ali Sabri berkata ibu bapa masa kini perlu lebih memahami peranan guru di sekolah dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak pendidik dalam melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak.

Katanya, kerjasama erat antara ibu bapa dan guru amat penting bagi memastikan pembentukan disiplin serta sahsiah pelajar dapat dilaksanakan dengan baik.

“Di sekolah, guru perlu diberi ruang dan kepercayaan untuk menjalankan tugas mendidik. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memberi sokongan, bukan menambah konflik,” katanya.

Jika diberi peluang kembali ke sekolah, beliau berkata beliau akan memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah, akhlak dan nilai murni pelajar.

“Ilmu boleh diajar, tetapi nilai dan kasih sayang perlu disemai,” katanya.

Mengakhiri perbualan, beliau menegaskan bahawa perjalanan hidupnya bukan sekadar sebagai guru atau pengacara, tetapi sebagai insan yang terus berusaha memberi manfaat kepada masyarakat walaupun selepas bersara.

“Selagi masih ada suara dan tenaga, saya akan terus menyumbang,” katanya.

Kini di usia yang semakin meniti senja, Ali Sabri terus membuktikan bahawa persaraan bukan noktah untuk berhenti berbakti, sebaliknya satu fasa baharu untuk terus mendekati masyarakat melalui pentas pengacaraan.

Oleh Faizah Muzidi

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Selamat menyeberangi jambatan pelangi, Si Oyen The Hotel Meownager
Next: Naik bot redah sungai demi didik anak pedalaman Baram

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.