
KLANG: Kerap menerima pertanyaan pelanggan tentang tempat menarik di sekitar Klang mendorong pengusaha Choon Guan Hainan Coffee 1956 tampil dengan pendekatan unik, menghasilkan kopi botol dengan pembalut memaparkan 10 lokasi menarik bandar diraja itu.
Generasi ketiga pengusaha kedai kopi berkenaan David Kan Yew Weng, 34, memilih pelbagai lokasi ikonik termasuk rumah ibadat masyarakat berbilang kaum sebagai simbol keharmonian yang sudah lama menjadi identiti bandar raya itu.
Lokasi yang diketengahkan termasuk Masjid Jamek Cina Muslim Klang, Istana Alam Shah, Kwan Inn Temple, Church of Our Lady of Lourdes, Little India Klang dan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

“Ramai pelanggan yang datang ke kedai tanya saya, lepas makan dekat Klang nak pergi mana. Masa itu saya sendiri pun susah nak jawab. Dari situ saya fikir, kenapa tidak gunakan produk kami untuk bantu promosikan Klang,” katanya kepada Bernama.
Beliau juga berpendapat peniaga tempatan boleh memainkan peranan mempromosikan sektor pelancongan tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada inisiatif kerajaan.
Memperkenalkan pelbagai pembaharuan di kopitiam yang diasaskan oleh datuknya hampir tujuh dekad lalu, usahawan muda ini percaya kedai kopi tradisional masih relevan sebagai ruang sosial masyarakat berbilang kaum jika diberikan nafas baharu menerusi operasi moden, kawalan kualiti lebih baik dan menu sihat.
“Saya membesar di kedai kopi ini dan sejak kecil saya sendiri lihat orang Melayu, Cina dan India duduk semeja sambil makan, minum kopi dan berbual tentang macam-macam perkara… daripada isu semasa, politik sehingga hal keluarga.
“Kadang-kadang bila pelanggan ramai, mereka tidak kisah berkongsi meja walaupun berlainan bangsa. Oleh sebab itu saya gabungkan identiti pelbagai kaum pada pembalut kopi botol ini sebagai mesej Klang sebenarnya harmoni dan hidup dalam kepelbagaian,” katanya.

Berkongsi lanjut, lepasan Monash University Malaysia itu berkata pada peringkat awal, beliau menerima tentangan keluarga termasuk ibunya kerana meninggalkan kerjaya di sebuah firma perundingan untuk menguruskan kedai kopi tersebut pada 2017.
“Mereka hantar saya belajar tinggi-tinggi sebab mahu saya kerja di syarikat besar. Jadi, apabila saya balik dan ambil alih kedai kopi, memang ramai yang marah dan persoalkan keputusan itu,” katanya.
Choon Guan Hainan Coffee 1956 yang sejak awal pembukaan beroperasi di Pandamaran, membuka cawangan pertama di Bandar Bukit Raja pada 2024 bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Kan berkata sejak hampir lima tahun lalu, beliau berusaha mendapatkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, namun berdepan cabaran kerana lokasi kedai berhampiran pasar basah.
Pun begitu, beliau yang mendapatkan bimbingan daripada Perbadanan Pembangunan Halal Berhad dan i-Mesra dalam usaha memenuhi syarat ketat pensijilan halal, berharap jenama yang diusahakan oleh keluarganya itu dapat berkembang menjadi produk kebanggaan Klang.- Bernama