LIMBANG: Sebuah kenderaan yang mencurigakan berjaya membawa kepada penahanan dua lelaki yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan rokok.
Kedua-dua lelaki berkenaan cuba melarikan diri tetapi tidak berhasil apabila kereta dinaiki terbabas ke dalam parit.
Kenderaan yang dipenuhi muatan rokok putih dipercayai tidak berbayar cukai itu terjatuh ke dalam parit besar sebelum ditahan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Limbang di Kampung Ipai malam kelmarin.
Komander PPM Wilayah Lima Sarawak, ACP Shamsol Kassim berkata, seorang pegawai dan empat anggota terserempak dengan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan pada 8.00 malam.
Beliau berkata, pihaknya berjaya menahan salah sebuah kenderaan yang terjatuh ke dalam parit besar berhampiran dan berjaya menahan dua lelaki berusia 37 dan 21 yang merupakan pemandu serta penumpang kenderaan tersebut, manakala sebuah lagi berjaya melarikan diri.
Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut didapati terdapat beberapa kotak di percayai rokok putih yang tidak berbayar cukai kastam.
“Kami menggunakan perkhidmatan kereta tunda untuk menarik keluar kenderaan yang membawa muatan disyaki rokok putih dan seterusnya ke markas taktikal PPM Wilayah Lima Limbang untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut menjumpai sebuah kenderaan ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan kawasan kampung Ipai itu sekitar 8.30 malam.
Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut mereka menjumpai beberapa kotak dipercayai rokok putih yang tidak berbayar cukai kastam.
Keseluruhan rampasan melibatkan beberapa kotak rokok putih dan dua kereta yang dirampas bernilai RM300,000 dan kes akan disiasat dibawah Akta Kastam 1967.
Oleh ADENG EDRUS