
BAU: Seramai 16 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuching menerusi Ops Gegar dan Ops Selera yang dijalankan di empat lokasi berasingan sekitar Kampung Jambusan, Pekan Bau dan Siniawan Central semalam.
JIM Sarawak dalam satu kenyataan berkata, operasi tersebut digerakkan Bahagian Penguatkuasa JIM Kuching dengan kekuatan seramai 28 pegawai imigresen.
Menurut kenyataan itu, antara lokasi yang disasarkan termasuk pusat refleksologi, pusat hiburan serta beberapa premis restoran yang dipercayai menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan warga asing yang ditahan di sekitar Pekan Bau dipercayai telah menyalahgunakan Pas Lawatan (Sosial) dengan bekerja di pusat hiburan.
“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan selepas risikan dan pemantauan dijalankan oleh pihak imigresen bagi membanteras pelanggaran Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua individu yang ditahan merupakan warga Indonesia berusia antara 19 hingga 55 tahun.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut dan tindakan selanjutnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang imigresen.