Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • DUN: Isu rumah mampu milik dan projek terbengkalai dibangkitkan
  • TEMPATAN

DUN: Isu rumah mampu milik dan projek terbengkalai dibangkitkan

Utusan Sarawak 15 hours ago
CHRISTOPHER Gira Sambang (GPS-Tamin) ketika membahaskan Usul Penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri di sidang DUN Sarawak di Kompleks DUN, Petra Jaya, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Keperluan terhadap pembangunan perumahan mampu milik di Selangau dan Mukah perlu diberi perhatian serius susulan peningkatan permintaan serta isu kelewatan projek perumahan yang menjejaskan pembeli rumah di kawasan berkenaan.

Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin) berkata pembangunan pesat yang sedang berlaku di Selangau menyebabkan permintaan terhadap projek perumahan mampu milik semakin meningkat, khususnya dalam kalangan keluarga muda, penjawat awam dan generasi muda yang ingin terus menetap serta bekerja di kawasan itu.

Menurut beliau, pelaksanaan lebih banyak projek kerajaan dan aktiviti ekonomi di Selangau turut mendorong keperluan terhadap pembangunan kawasan kediaman yang selesa dan mampu dimiliki.

“Kerajaan negeri wajar mempertimbangkan pelaksanaan Projek Perumahan Mampu Milik di pekan Selangau bagi memenuhi keperluan penduduk setempat pada masa hadapan.

“Perumahan mampu milik dapat menyediakan peluang kehidupan yang lebih baik kepada keluarga tempatan, menarik golongan profesional muda dan penjawat awam untuk terus berkhidmat di Selangau, selain menyokong pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa perancangan bandar yang teratur, digabungkan dengan pembangunan perumahan, kemudahan komersial dan prasarana awam mampu menjadikan Selangau sebagai pusat pertumbuhan wilayah yang lebih tersusun dan progresif di tengah Sarawak.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap pembangunan perumahan mampu milik sebagai sebahagian daripada pelan induk pembangunan menyeluruh bagi Selangau dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada sidang DUN di Kompleks DUN, hari ini.

 ROYSTON Valentine (GPS-Tellian) ketika membahaskan Usul Penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada sidang DUN di Kompleks DUN, Petra Jaya, hari ini. Foto UKAS

Sementara itu, Royston Valentine (GPS-Tellian) berkata isu kegagalan pemaju menyiapkan projek perumahan mengikut jadual turut membelenggu rakyat di Mukah dan dipercayai berlaku di beberapa kawasan lain di Sarawak.

Menurut beliau, antara aduan yang diterima melibatkan projek perumahan di bawah syarikat pemaju KS Tiong Sdn Bhd di Mukah yang menjejaskan puluhan pembeli rumah.

“Saya menggesa kerajaan melalui agensi dan tribunal berkaitan membantu pembeli rumah yang terkesan serta mengambil tindakan tegas bukan sahaja terhadap syarikat pemaju, tetapi juga pemilik syarikat terbabit supaya perkara sama tidak berulang melalui penubuhan syarikat baharu.

“Cadangan pembayaran ganti rugi yang setimpal kepada pembeli juga harus dipertimbangkan dalam kes seumpama ini kerana pembeli tidak seharusnya terus menjadi mangsa keadaan,” katanya.

Oleh Norman B

Continue Reading

Previous: Galeri tetap Sarawak Delta Geopark dibangunkan di Pusat Sains Sarawak
Next: SIAC2026 perkukuh peranan Sarawak sebagai peneraju pembangunan inklusif ASEAN

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.