
PETRA JAYA: Galeri tetap berkaitan Sarawak Delta Geopark akan dibangunkan di Pusat Sains Sarawak sebagai usaha memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap nilai warisan geologi, sejarah dan ketamadunan di kawasan geopark berkenaan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, galeri tetap itu akan diwujudkan sebaik sahaja Pusat Sains Sarawak dirasmikan kelak.
Menurutnya, galeri berkenaan penting bagi memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai keunikan dan nilai tinggi tapak-tapak geologi yang terdapat dalam kawasan Sarawak Delta Geopark.
“Galeri yang kekal yang akan kita bangunkan di Pusat Sains Sarawak nanti.
“Untuk sementara ini kita ada di Galeri Damai dan ini (di DUN) untuk tetamu kehormat serta pelawat-pelawat yang datang supaya mereka mendapat pendedahan secara ringkas mengenai khazanah yang ada di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Pameran Sarawak Delta Geopark di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Len Talif berkata, pengiktirafan UNESCO terhadap Sarawak Delta Geopark sebagai UNESCO Global Geopark merupakan hasil perjalanan panjang yang bermula sejak 2001.
Katanya, kajian menyeluruh berkaitan geopark itu dilaksanakan pada 2009 sebelum tindakan susulan diambil pada 2019 selepas mendapat kelulusan Kabinet serta sokongan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Alhamdulillah selepas perjalanan selama 15 tahun dengan penglibatan pelbagai pihak seperti muzium, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Hutan, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), pejabat residen serta sektor pelancongan, kita akhirnya berjaya mencapai tahap ini,” katanya.
Beliau berkata, kawasan Sarawak Delta Geopark meliputi keluasan kira-kira 3,112 kilometer persegi atau 311,000 hektar yang melibatkan komuniti Melayu, Iban, Bidayuh dan Cina.
Menurutnya, kewujudan galeri tersebut penting bagi membantu masyarakat memahami sejarah geologi yang menjangkau jutaan tahun serta menghargai nilai saintifik di kawasan terbabit.
“Seperti kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Jadi kita perlu memperkenalkan warisan ini kepada masyarakat.
“Ada batuan yang berusia sehingga 360 juta tahun dan orang awam mungkin tidak memahami nilainya tanpa penerangan seperti di galeri ini,” katanya.
Tambah beliau, selain galeri tetap di Pusat Sains Sarawak, beberapa lokasi lain termasuk di Bau dan kawasan menuju Damai turut dirancang sebagai lokasi pembelajaran berkaitan sejarah dan naratif unik kawasan geopark tersebut.
Oleh Shahrul Qaizat