
SIBU: Pelajar lelaki maut selepas motosikal dinaikinya bersama seorang rakan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Batu 8, Jalan Ulu Oya berhampiran SK Ulu Sungai Merah, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Azari Miskon berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu 3.15 petang, sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar 3.00 petang membabitkan lori dipandu lelaki berusia 37 tahun dari arah Kemuyang ke Sungai Merah dan motosikal dinaiki mangsa dari arah Desa Satria menuju ke Kemuyang.
“Akibat kejadian itu, mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan pada 3.22 petang. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk tujuan bedah siasat,” jelasnya.
Sementara itu, katanya, penunggang motosikal berusia 18 tahun mengalami kecederaan pada jari tangan kanan dan kaki kiri.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” kata beliau.
Oleh Akun Giman