
PETRA JAYA: DAP membantah cadangan pembangunan semula kawasan perindustrian Pending yang didakwa boleh menjejaskan hampir 500 pengusaha industri serta mengganggu ekosistem perniagaan bernilai sekurang-kurangnya RM5 bilion.
Violet Yong (DAP-Pending) berkata kawasan perindustrian itu bukan tanah terbiar atau kawasan yang memerlukan pemulihan semula, sebaliknya hab industri aktif yang dibangunkan sejak puluhan tahun oleh syarikat tempatan Sarawak termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, sehingga kini ramai pemain industri masih tidak mendapat maklumat jelas berhubung cadangan pembangunan semula tersebut termasuk lokasi penempatan baharu sekiranya pemindahan dilaksanakan.
“Jika perpindahan memang dirancang, di manakah kawasan industri gantian dengan infrastruktur, utiliti dan sistem logistik yang sesuai?
“Siapa akan menanggung kos pemindahan termasuk pembongkaran mesin, pembinaan semula kilang dan gangguan operasi perniagaan?” katanya ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau berkata Sarawak masih mempunyai kawasan tanah yang luas dan pembangunan baharu tidak sepatutnya mengorbankan kawasan industri yang telah lama menyumbang kepada ekonomi negeri.
Selain itu, Violet turut mempersoalkan pelaksanaan program Pendekatan Transformasi Pekerja Asing Sarawak (FWTA) yang menurutnya membebankan majikan menerusi caj tambahan pengambilan pekerja asing.
Katanya, sejak pelaksanaan program itu pada Januari 2025, majikan perlu membayar RM1,854 bagi setiap pekerja asing atau RM2,002.32 termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Menurut beliau, berdasarkan angka rasmi sebanyak 106,242 kelulusan pekerja asing dikeluarkan sepanjang 2025, kutipan program tersebut dianggarkan hampir RM200 juta setahun.
“Namun sehingga kini kerajaan masih belum menjelaskan secara terperinci struktur pembayaran, jumlah yang diterima kerajaan negeri serta bahagian yang diterima pihak swasta di bawah model kerjasama awam-swasta (PPP) ini,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan penggunaan platform pembayaran pihak ketiga serta kaitan sebuah syarikat dikenali sebagai FWTA Sdn Bhd yang menurutnya masih belum diperjelaskan kepada umum.
Dalam perkembangan lain, Violet turut menolak dakwaan kononnya Dewan Undangan Negeri Sarawak kini dikenali sebagai Dewan Undangan Sarawak (DUS).
Beliau menegaskan Perlembagaan Sarawak masih menggunakan istilah Dewan Undangan Negeri dan tiada sebarang pindaan dibuat untuk menukar nama rasmi DUN Sarawak.
“Semua dokumen rasmi termasuk notis persidangan dan rang undang-undang yang dibentangkan di dewan ini masih menggunakan istilah Dewan Undangan Negeri Sarawak,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat