Warga emas syukur doa jadi ‘tetamu VVIP Allah’ dimakbulkan

Facebook
WhatsApp
WARGA Emas Zalipah Md Alwi, 73, berkongsi cerita ketika ditemui di Tanah Suci baru-baru ini. Zalipah yang berasal dari Sungai Besi, Kuala Lumpur berkata dia tidak pernah meminta agar dipercepat giliran atau dipermudah dengan jalan singkat sebaliknya hanya memohon agar apabila tiba waktunya, dia dipilih sebagai tetamu bertuah Allah. Foto BERNAMA

MAKKAH: “Ya Allah, jadikan saya tetamu VVIP-Mu.”

Itulah doa yang tidak pernah lekang daripada bibir Zalipah Md Alwi setiap kali selesai solat sepanjang puluhan tahun menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Pada usia 73 tahun, doa yang dipanjatkan dalam diam itu akhirnya dimakbulkan apabila warga emas berkenaan kini berada di bumi haram sebagai duyufurrahman, sesuatu yang disifatkannya sebagai jemputan paling istimewa daripada Allah.

Zalipah yang berasal dari Sungai Besi, Kuala Lumpur berkata dia tidak pernah meminta agar dipercepat giliran atau dipermudah dengan jalan singkat sebaliknya hanya memohon agar apabila tiba waktunya, dia dipilih sebagai tetamu bertuah Allah.

“Saya selalu doa macam itu… ‘Ya Allah, kalau sampai masa saya, jemputlah saya sebagai tetamu VVIP-Mu’. Saya percaya kalau Allah nak panggil, lambat macam mana pun kita tetap akan sampai,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Zalipah, istilah “tetamu VVIP Allah” membawa makna yang cukup mendalam buat dirinya, bukan merujuk kepada layanan istimewa sebaliknya rasa dimuliakan apabila Allah sendiri menyusun perjalanan seorang hamba untuk hadir ke rumah-Nya pada waktu terbaik.

WARGA Emas Zalipah Md Alwi, 73, berkongsi cerita ketika ditemui di Tanah Suci baru-baru ini. Zalipah yang berasal dari Sungai Besi, Kuala Lumpur berkata dia tidak pernah meminta agar dipercepat giliran atau dipermudah dengan jalan singkat sebaliknya hanya memohon agar apabila tiba waktunya, dia dipilih sebagai tetamu bertuah Allah. Foto BERNAMA

Sepanjang menunggu jemputan itu, Zalipah berkata dia melalui pelbagai ujian hidup termasuk terpaksa menangguhkan hasrat sendiri demi menjaga ibunya yang uzur sehingga ke akhir hayat ketika pandemik COVID-19.

Dalam tempoh sama, dia bersama suami turut diuji apabila menjadi mangsa penipuan pakej umrah pada 2022 sehingga kerugian RM14,000.

Zalipah bagaimanapun menganggap segala ujian itu tidak pernah mematahkan keyakinannya, sebaliknya mengajarnya untuk terus bersabar dan bergantung sepenuhnya kepada Allah.

“Orang boleh buat kita, orang boleh tipu kita, tetapi rezeki Allah tak pernah salah alamat. Sebab itu saya tetap doa perkara yang sama… nak jadi tetamu VVIP Allah,” katanya.

Sebaik menjejakkan kaki ke Madinah, Zalipah berkata dia tidak mampu menahan air mata kerana merasakan seluruh penantian, pengorbanan dan doa yang dipendam sekian lama akhirnya terjawab.

“Masa sampai saya terus menangis… masa itu saya rasa Allah benar-benar dengar doa saya selama ini,” katanya penuh syukur.- Bernama

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman