Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Sarawak perkukuh modal insan menerusi kerjasama MASA, Universiti Melbourne
  • PENDIDIKAN

Sarawak perkukuh modal insan menerusi kerjasama MASA, Universiti Melbourne

Utusan Sarawak 5 hours ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Institut Pengurusan Sarawak (MASA) dan Universiti Melbourne di Dewan Kenyalang, DUN Sarawak, hari ini. Foto Adele Rissa 

PETRA JAYA: Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan menerusi kerjasama strategik antara Institut Pengurusan Sarawak (MASA) dan Universiti Melbourne yang bakal menawarkan program Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) bertaraf global kepada rakyat negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu menjadi langkah penting dalam usaha kerajaan negeri mempersiapkan rakyat menghadapi ekonomi masa depan yang semakin berasaskan teknologi dan inovasi.

Menurut beliau, pendidikan bukan sekadar memperoleh kelayakan akademik, malah menjadi asas penting dalam memperkasa rakyat dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, keyakinan diri serta keupayaan membentuk masa depan sendiri.

“Dalam dunia yang berubah begitu pantas, negara dan wilayah yang melabur dalam pendidikan serta pembangunan bakat akan menjadi pihak yang berjaya dan kekal berdaya saing.

“Seiring usaha Sarawak menuju wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, kita mesti memastikan tenaga kerja dilengkapi kompetensi yang tepat, ciri kepimpinan kukuh serta perspektif global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum antara MASA dan Universiti Melbourne di Dewan Kenyalang, Kompleks DUN, hari ini.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis menandatangani memorandum antara Instutut Pengurusan Sarawak (MASA) dan Universiti Melbourne di Dewan Kenyalang, Kompleks DUN hari ini. Foto Adele Rissa

Abang Johari berkata, kerjasama dengan institusi bertaraf antarabangsa seperti Universiti Melbourne amat penting ketika Sarawak sedang melalui transformasi ekonomi melibatkan sektor tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), pembuatan maju dan teknologi hijau.

Katanya, menerusi kerjasama itu, rakyat Sarawak akan memperoleh akses lebih luas kepada pendidikan bertaraf dunia dan peluang pembangunan profesional tanpa perlu meninggalkan negeri ini.

“Saya amat mengalu-alukan pengenalan program MBA ini kerana ia mampu melahirkan pemimpin yang berupaya mengharungi cabaran ekonomi kompleks, mengurus organisasi secara berkesan serta memacu inovasi dalam sektor awam dan swasta,” ujarnya.

Sementara itu, Abang Johari menegaskan kerajaan negeri akan terus melabur dalam pendidikan digital, latihan teknikal dan vokasional, pendidikan tinggi serta kerjasama antarabangsa yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

“Kita mahu rakyat Sarawak, khususnya generasi muda, mendapat akses kepada program bertaraf global bagi mempersiapkan mereka menghadapi industri masa depan dan peranan kepimpinan,” katanya.

Untuk rekod, program tersebut akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi pendekatan pembelajaran interaktif dan struktur fleksibel selama tiga tahun bagi memenuhi keperluan golongan bekerja.

Oleh Adele Rissa

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Jerayawara i-CATS bakal berkampung di Saratok 13 Jun ini
Next: Setiap permohonan pertukaran, penempatan guru perlu ambil kira aspek kemanusiaan – Omar Mahli

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.